ANDA pernah menyayanginya. Jadi kenapa harus bermati-mati menyimpan rasa dendam dengan sikap membenci bekas kekasih?
Bunyi falsafah ini macam klise. Kalau tidak klise pun, kedengaran macam sangatlah poyo.
Tetapi ayat poyo ini sesuai untuk renungan kepada semua yang namanya artis. Masa awak nak show off bahagia – dunia bagai nak rak bergegar dengan kisah cinta ada.
Tetapi bila putus, anda jadi setengah mati mempamerkan kebencian. Ada artis yang memang tanpa malu, akan secara terbuka menunjuk-nunjuk sikap pembencinya pada bekas kekasih agar diketahui seantero dunia.
Alahai. Awak kan retis. Orang terkenal. Orang sohor yang menganggap dirinya subjek perhatian masyarakat. Jadi, anda tidak patut menjadi penyebar budaya dendam dan kebencian.
Anda pernah menyintai atau menyayangi seseorang. Cuma takdir sudah mengajarkan: Bukan semua cinta akan sampai ke titik perkahwinan.
Bukankah jodoh pertemuan di tangan Allah. Datang satu detik, sudah tiada keserasian, akan berlakulah perpisahan. Namun, perpisahan tidak wajar berpannjangan, sampai jadi permusuhan tidak keruan.
Artis atau orang sohor adalah figura masyarakat. Orang akan memerhati dan mengikuti tiap detik dan momen hidup mereka. Pastinya, kisah cinta jadi keutamaan dan perhatian masyarakat. Malah, banyak artis kayu atau berbakat sendu, pun boleh menjadi tersohor semata-mata kerana kisah cintanya yang sentiasa hangat.
Sehari dua ini, kecoh lagi kisah artis berseteru dengan bekas pasangan yang pernah dicintai. Sampai meletup-letup. Muka bekas kekasih pun dibenci sampai tidak mahu ditatapnya.
Malah, ini satu antara puluhan kisah ragam artis kalau sudah membenci bekas kekasih atau pasangannya. Ia bukan aneh pun. Bekas laki dan bini dalam dunia artis, ada juga yang bermusuh macam arab dengan yahudi.
Cuma sebagai artis, anda sepatutnya perlu berjiwa besar. Orang sohor tidak wajar berakal cetek atau berfiil macam monyet. Masa berkasih setengah mati cari publisiti. Masa bermusuh macam saling hendak berbunuh kalau boleh bawa mati.
Siapa makan cili dia akan terasa pedas. Tetapi sekadar teguran: Public figure kena berjiwa besar. Macamana nak memimpin jutaan peminat, kalau akal dan mentaliti pun tidak berapa nak sihat?
Jadi, yang namanya artis – tidak payahlah bersungguh-sungguh hendak bermusuh dengan bekas kekasih atau bekas laki bini macam tidak ada akal dan hati.
Bukankah anda pernah menyayanginya? Jadi kenapa perlu berdendam pada orang yang pernah kita cintai?
Berjiwa besarlah. Buang yang keruh ambil yang jernih. Awak kan artis….