KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata amalan saling kunjung-mengunjung terutama pada musim perayaan mampu mengeratkan perpaduan serta mengukuhkan perasaan kekitaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Musa, amalan kunjung-mengunjung yang lazimnya dilakukan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di Sabah seperti ketika perayaan Aidilfitri, Tadau Kaamatan, Krismas dan seumpamanya juga berupaya mengeratkan rasa persaudaraan.
“Ini (saling kunjung-mengunjung) akan kita teruskan supaya ia memperkukuhkan (perpaduan) kita dan memperkuat hubungan kita. Dengan itu, kita boleh membangunkan negeri kita Sabah yang tercinta ini,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke rumah terbuka Krismas anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Tamparuli, Tuaran hari ini.
Hadir sama ialah Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai. – BERNAMA