BARU-BARU ini pelakon, Amyra Rosli teruk dikecam netizen tempatan dek kerana didakwa tidak memberikan susu badan kepada anak sulungnya.
Kontroversi itu menjadi perbualan apabila tindakan aktress berkenaan memuat naik foto memaparkan dia sedang memberi anaknya itu minum susu menggunakan botol susu.
Ekoran teruk menerima kritikan dan hentaman berhubung isu berkaitan, Amyra dilihat tampil bagi menjelaskan hal sebenar yang berlaku sekaligus menyelar semua dakwaan tersebut.
Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli berkata, botol susu tersebut merupakan hadiah daripada seseorang yang tidak didedahkan identitinya.
Tambahnya lagi, tindakan beliau memuat naik posting berkenaan kerana hanya ingin mempromosi jenama botol itu sahaja.
“Botol itu adalah hadiah daripada seseorang, jadi saya ingin mempromosikan jenama itu di akaun Instagram saya.
“Jangan pula cakap, saya sepatutnya berkongsi juga gambar-gambar sedang menyusukan anak di media sosial,” katanya dipetik New Straits Times.
Dalam pada itu, Amyra turut mengakui sama sekali tidak mahu mengambil pusing terhadap segala tohmahan negatif berkenaan.
Sebaliknya, beliau hanya mengabaikan sahaja komen-komen berkenaan kerana beranggapan golongan selebriti sememangnya tidak boleh lari daripada menjadi perhatian umum.
“Sebagai seorang selebriti, saya perlu menerima hakikat bahawa saya sentiasa menjadi pemerhatian umum, dan tidak akan pernah terlepas daripadanya.
“Tapi apa yang terbaik adalah saya hanya perlu mengabaikannya sahaja kerana semakin dilayan, semakin menjadi-jadi,” katanya.
Sementara itu, Amyra ketika ditanya mengenai reaksi berhubung tohmahan negatif netizen terhadap Instagram anaknya memberitahu beliau tidak akan mengambil kisah malah hanya mengabaikan sahaja perkara berkenaan.
“Alasan saya membuka akaun itu adalah bagi menyimpan segala kenangan anak kami ketika dia membesar, sekaligus berkongsi moment indah itu bersama peminat,” ujarnya.
Amyra dan suami, Amar Baharin telah selamat menimang cahaya mata kira-kira jam 12.07 tengah hari di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM