JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang koperal polis di Kulai malam tadi kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang guru agama.
Menurut sumber, suspek berusia 49 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulai dan penahanannya di sebuah bengkel membaiki kereta kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.
Suspek disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM3,000 daripada guru agama terbabit sebagai dorongan menyelesaikan siasatan satu kes dadah membabitkan dirinya yang sedang dijalankan oleh Bahagian Narkotik IPD Kulai, Johor.
Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor Dato Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek direman seminggu bermula hari ini hingga 13 Dis depan berikutan perintah yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru Faridatul Farrah Mohd Shukri. – BERNAMA