BERSIH… Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa tidak didakwa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bahawa pihak pendakwa raya telah meneliti kertas siasatan isu terbabit sebelum keputusan itu dibuat.
“Setelah diteliti, diputuskan oleh pihak pendakwa raya untuk tidak mendakwa beliau (Annuar). Ini kerana segala keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya,” kata beliau.
Azam menyatakan demikian ketika dihubungi Sinar Harian semalam. Selain itu, akhbar tersebut turut melaporkan, bahawa kertas siasatan terhadap kes Annuar sebenarnya telah lama selesai disiasat SPRM beberapa bulan lalu.
Malahan ia telah pun diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk disemak semula sebelum tindakan susulan dapat diambil selepas Annuar digantung tugas termasuk Pelaburan Mara Berhad berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Dalam pada itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin semalam turut menafikan khabar angin yang menyatakan bahawa Annuar akan kembali semula ke agensi tersebut atau mana-mana anak syarikat di bawah Mara.
“Saya secara rasmi tidak mendengar Annuar akan kembali ke Mara. Khabar angin mungkinlah,” katanya. Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 19 Julai 2003. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA