KUALA LUMPUR – Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengintai keputusan positif pada Kejohanan Bola Sepak Tiga Penjuru Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13-20 Jan depan.
Penjaga gol skuad kebangsaan itu juga yakin rakan sepasukan mampu memberikan persembahan cemerlang pada kejohanan berkenaan sebagai motivasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018 yang dijangka bermula pada Februari depan.
Selain Kelantan , edisi sulung kejohanan berkenaan turut disertai Ratchaburi FC dari Thailand dan Persija Jakarta dari Indonesia.
“Pasukan yang ambil bahagian bukan calang-calang, mereka adalah pasukan terbaik di Indonesia dan Thailand manakala kami dalam persiapan musim baharu.
“Jadi ini juga peluang terbaik menguji keupayaan, keserasian dan persefahaman dalam pasukan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda,” jelas Khairul Fahmi yang dipetik sebagai berkata menerusi kenyataan dikeluarkan penganjur, Total Sports Asia, hari ini.
Sehubungan itu, Khairul Fahmi yang lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’ dalam kalangan rakan sepasukan mengharapkan penyokong skuad ‘The Red Warriors’ dapat hadir ke Stadium Nasional bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan berkenaan.
“Di Bukit Jalil kami menjulang trofi buat kali terakhir iaitu Piala FA pada 2013, saya masih ingat lagi suasana gamat dengan puluhan ribu penyokong Kelantan membanjiri stadium pada ketika itu.
“Jadi saya mengharapkan penyokong akan hadir berikan sokongan kerana saya percaya mereka sudah begitu lama ‘merindui’ aksi Kelantan di Bukit Jalil dan suasana yang sama itu berulang biarpun ia cuma kejohanan pemanas badan,” tegas penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan yakin pasukan berkenaan dapat mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan berkenaan selepas menjadi pasukan tempatan pertama diberi peluang beraksi di Stadium Nasional yang berwajah baharu.
“Saya yakin pemain-pemain juga tidak mahu mengecewakan harapan penyokong iaitu mencatat satu keputusan cemerlang dengan menentang pasukan terbaik dari rantau ini dan ia pastinya menjadi satu tonik yang baik dan permulaan sempurna untuk musim 2018.
“Kita mahu bermula di Bukit Jalil dan akhiri musim ini di Bukit Jalil,” jelas Bibi Ramjani yang merupakan seorang usahawan batik.
Berdasarkan jadual pertandingan, Ratchaburi FC bakal berdepan Persija Jakarta pada aksi pembukaan pada 13 Jan disusuli Kelantan menentang Persija Jakarta pada aksi kedua pusingan awal, selang tiga hari kemudian.
Kelantan akan melengkapkan saingan pusingan awal menentang Ratchaburi FC pada 20 Jan. – BERNAMA