PONTIAN – Aplikasi e-Pineapple yang mesra pengguna dilihat mampu membantu para pekebun nanas mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan industri berkenaan.
Sistem dalam talian Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) itu merupakan pusat maklumat dan pangkalan data berkaitan industri nanas dengan ciri-ciri keselamatan yang baik selain mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek berkata e-Pineapple juga membawa perubahan transformasi digital LPMN kerana aplikasi itu tidak hanya membantu kakitangan tetapi juga warga tani industri nanas di seluruh Malaysia.
Antara sembilan modul utama di dalam aplikasi e-pineapple adalah profil industri nanas, modal bantuan dan insentif, modul industri asas tani dan modul pengurusan ladang.
“Ini sejajar hasrat kerajaan bagi memperkasakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pelbagai sektor khususnya bidang pertanian di Malaysia yang agak ketinggalan berbanding negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan aplikasi itu di Pusat Perdagangan Pontian sempena Fiesta Nanas 60 LPNM yang juga bersemepan sambutan ulang tahun agensi itu, di sini hari ini.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata aplikasi itu juga merupakan platform awal yang menjadi nadi kepada LPNM melengkapkan persediaan menghadapi era globalisasi serta mengharumkan jenama nanas Malaysia. – BERNAMA