KUANTAN – Bot nelayan yang karam kira-kira empat batu nautika dari Pulau Layak, di perairan Tanjung Gemok, Rompin pada Jumaat lepas berjaya diapungkan tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata bot berkenaan telah berjaya diapungkan oleh nelayan dan didapati bahagian rumah bot (wheel house) pecah.
“Hanya bahagian bawah bot sahaja yang tinggal dan pemeriksaan yang dilakukan juga tidak menemui seorang awak-awak yang dilaporkan hilang sejak bot itu karam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pannir Selvan menambah operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Che Mohd Arif Che Hussein, 38, dari Wakaf Bharu, Kelantan telah disambung semula sejak pukul 8 pagi tadi di sekitar 4.5 batu nautika dari lokasi bot itu karam.
Beliau berkata operasi melibatkan aset milik APMM iaitu Bot Pengawal 43 dan Bot PSC 31 dari polis marin dan akan diteruskan sehingga pukul 7 malam ini.
“Buat masa ini, bot yang karam itu akan ditarik ke Jeti Endau, Rompin oleh bot nelayan dan dijangka tiba pada malam ini,” katanya.
Bot malang itu karam pada Jumaat lalu, dipercayai akibat dipukul ombak menyebabkan air memasuki bot dan pam menyedut air rosak dan tidak dapat berfungsi.
Kejadian itu menyebabkan tekong bot mengarahkan lima anak kapal untuk terjun ke laut bagi menyelamatkan diri sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan berhampiran, namun menyedari mangsa tidak berada di bot itu. – BERNAMA