KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pengumuman agihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) dapat terus membantu memperkasakan pemilikan ekuiti dan saham bagi Bumiputera.
“Alhamdulillah, hasil pengurusan baik, pulangan ASB bagi tahun ini diumumkan 8.25 sen, 12 peratus lebih tinggi daripada pulangan tahun lalu.
“Semoga inisiatif kerajaan ini dapat terus bantu memperkasakan pemilikan ekuiti dan saham bagi Bumiputera,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman rasmi Twitter beliau hari ini.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi ASB terdiri daripada dividen 7 sen seunit, bonus 0.25 sen seunit dan bonus khas 1 sen seunit bagi baki sehingga 10,000 unit bersempena ulang tahun ke-40 PNB pada Mac 2018.
Agihan pendapatan itu adalah bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017. – BERNAMA