KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan di negara ini yang sepatutnya memberi penekanan kepada pembangunan sukan masing-masing di peringkat akar umbi harus memberi peluang secukupnya kepada atlet muda mereka untuk bertanding dalam sesuatu kejohanan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata ia adalah penting bagi atlet muda menimba pengalaman yang berguna dan mendapat latihan terbaik demi masa depan sukan di Malaysia.
”Tahun depan merupakan tempoh yang amat sibuk bagi sukan di negara ini dengan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang pada Ogos.
‘Malaysia juga mencatat sejarah dengan kelayakan Julian Yee dalam acara luncur ais pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di PyeongChang, Korea Selatan pada Februari. Memang ia merupakan tahun yang sibuk dan pada amnya tahun yang amat bermakna, dengan semua persatuan sukan terus berusaha keras meningkatkan tahap bagi sukan masing-masing,” katanya dalam perutusan akhir tahun, di sini hari ini.
Menurut Tunku Imran, semua persatuan sukan perlu berusaha lebih keras dan berdikari dan mengikuti era professional bagi memastikan organisasi mereka diurus dengan baik dan mengambil kira kepentingan para atlet.
Tunku Imran berkata kejayaan atlet Malaysia di Sukan SEA ke-29 adalah platform terbaik bagi meningkat dan mencapai matlamat yang lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia.
“Saya mesti mengucapkan tahniah kepada semua pihak kerana menjadikan sukan ini satu kejayaan besar bermula dari Kementerian Belia dan Sukan yang diketuai Khairy Jamaluddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC),” katanya.
Sementara itu, Tunku Imran yang telah menjadi presiden MOM selama hampir 20 tahun, berkata 2018 akan menyaksikan pemilihan bagi seorang presiden dan ahli lembaga yang baharu untuk MOM.
“Saya berharap mereka yang menyintai sukan akan memberikan sokongan dan bantuan kepada pengurusan akan datang sama seperti yang diberikan mereka kepada saya dalam tempoh 19 tahun yang lalu. Sukan akan sentiasa menjadi bahagian penting dalam kehidupan di Malaysia dan juga pemangkin untuk terus harmoni.
“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu yang benar-benar bermakna kepada semua dan tahun 2018 yang penuh dengan kejayaan,” katanya. – BERNAMA