PADANG BESAR – Seramai 21 kanak-kanak penghidap kanser diraikan sempena program Jelajah Semarak Kasih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Prihatin yang diadakan di Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia Kem Bukit Cowder dekat sini, hari ini.
Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia Brig Jen Hashim Aman Shah berkata turut diraikan 276 kanak-kanak golongan kurang berkemampuan serta anak-anak anggota ATM pada program bertujuan untuk merapatkan hubungan masyarakat dengan pihak tentera itu.
“Program jiwa murni ini adalah bagi membentuk ukhwah dan perhubungan akrab bersama penduduk setempat, secara tidak langsung memberi suntikan perpaduan berlandaskan slogan ‘tentera dan rakyat, berpisah tiada’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program itu dekat sini, hari ini.
Beliau berkata pada program sehari dengan kerjasama Pertubuhan Skuad Khidmat Malaysia (Paskam) itu, pelbagai acara diatur antaranya senamrobik, pertunjukan ‘war dance’, silat tempur serta demonstrasi menyelamat tebusan.
Kesemua kanak-kanak itu turut menerima sumbangan peralatan sekolah sempena sesi baharu persekolahan tidak lama lagi. – BERNAMA