GEMPUR… Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bersedia kerjasama dengan seorang lagi bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Selangor.
Bercakap kepada portal BNBBC.my, gabungan bekas menteri besar itu sekali gus akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam menyedarkan rakyat Selangor akan penipuan yang dibuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kita akan membantu BN Selangor, sekarang rakyat di Selangor tidak nampak lagi bahayanya kerajaan negeri yang didalangi oleh DAP berjaya mengawal setiap gerak geri dan langkah yang ingin dibuat pentadbiran Azmin.
“Mereka hanya dibaluti slogan dan jerit-jeritan semangat dan janji, tapi tiada satu pun yang dikotakan. Azmin hanyalah puppet (boneka) untuk kerajaan DAP, tidak ada pun agenda Melayu yang diperjuangkan.
“Yang lebihnya mereka konon hendak buat urbanisasi di Selangor, tetapi Melayu kita tidak pula dibantu, akhirnya bangsa kita sendiri dipinggirkan dari bumi Selangor,” katanya ketika dihubungi portal tempatan tersebut.
Baca: Khalid Sertai 3 Bekas MB BN ‘Gempur’ Azmin
Membuktikan perkara itu, Muhammad berkata pembubaran Yayasan Selangor dan fungsi asal PKNS adalah antara contoh paling ketara dapat dilihat bangsa Melayu mulai dipinggirkan malah ia adalah sebahagian rancangan DAP.
“PKNS ketika ini memang sudah lari daripada fungsi yang sebenar, rumah baharu yang dibina RM600 ribu hingga RM1 juta, siapa yang mampu beli? Melayu kah? Tidak. Jadi untuk apakah dibina rumah semahal itu sekali?
“Lihat pula kuasa pihak kerajaan tempatan juga berjaya dikawal kemas oleh DAP, baik Majlis Bandaraya Shah Alam, di ibu negerinya, bahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
“Ini yang saya dan Tan Sri Khalid ada bincangkan, dia sendiri pernah berkata kepada saya bahawa Selangor perlu diubah kembali daripada kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan Harapan) kepada BN,” ujar Muhammad lagi.
Tambahnya, orang Melayu khususnya perlu sedar supaya tidak lagi beri undi kepada pakatan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini bagi memberhentikan pengaruh DAP dan penipuan terhadap rakyat Selangor keseluruhannya.
Justeru, gabungan beliau dan Khalid serta beberapa bekas menteri besar lain iaitu Dr. Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar akan tampil membantu rakyat dalam memberi kesedaran politik pada kempen PRU kelak.
BNBBC.my melaporkan, langkah terbaharu empat mantan menteri besar itu sekali gus dijangka memenangkan UMNO dan BN dapat menawan semula negeri tersebut pada PRU akan datang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA