KANGAR – Penjawat awam di Perlis akan menerima bayaran khas RM1,500 manakala pesara kerajaan pula diberi RM750, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Beliau berkata bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari ini dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
“Bayaran untuk pesara kerajaan pula sebanyak RM500 pada Januari dan RM250 menjelang hari raya,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 Negeri Perlis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata perkhidmatan awam menjadi jentera utama dalam penyampaian dan pelaksanaan segala dasar dan inisiatif dari kerajaan.
“Kerana itu kerajaan amat menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada penjawat awam yang sekian lama bersama pentadbiran ini saling bergandingan dan lengkap melengkapi dan kerajaan sentiasa memberi pelbagai inisiatif demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan mereka,” katanya. – BERNAMA