PUTRAJAYA – Seorang bekas kerani wanita hari ini terlepas hukuman penjara 39 bulan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM20,949.17.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan akhir yang dikemukakan R. Birunthavathy, 34, terhadap sabitan dan hukuman itu.
Pada 30 Jun 2014, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita tersebut selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah itu dan Mahkamah Tinggi Shah Alam juga mengekalkan sabitan dan hukuman itu selepas menolak rayuan wanita itu.
Selepas keputusan itu, Birunthavathy melemparkan senyuman kepada keluarganya yang hadir di mahkamah serta mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, Dinesh Muthal dan Baskaran Manikam.
Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama hakim-hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Rhodzariah Bujang berkata sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap perayu (Birunthavathy) adalah tidak selamat untuk dikekalkan.
Beliau berkata saksi material dalam kes itu tidak dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan dan dokumen asal berhubung pembayaran wang itu juga tidak dikemukakan semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
“Mahkamah membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan sabitan dan hukuman itu,” katanya.
Wanita itu didakwa melakukan pecah amanah melibatkan nilai RM5,577 di Syarikat E-Title Services Sdn Bhd, Menara Maxisegar, Pandan Indah, Selangor antara 25 Mac 2011 dan 5 Dis 2011.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM15,372.17 di tempat sama, antara 18 April 2012 dan 12 Dis 2012.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan untuk pertuduhan pertama dan 24 bulan bagi pertuduhan kedua yang diperintahkan berjalan secara berasingan.
Sebanyak 16 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan kes itu. – BERNAMA