SHAH ALAM – Kelab Ketua-ketua Balai Bomba (KKB) Selangor dilancarkan hari ini bagi membolehkan seramai 34 ketua balai bertukar pandangan dan idea untuk melicinkan operasi pemadaman kebakaran di negeri itu.
Presiden KKB yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Azmel Kamarudin berkata menerusi kelab itu, seseorang ketua balai dapat membantu rakan setugas dari balai lain yang menghadapi kesukaran untuk mengawal sesuatu situasi kebakaran mencabar.
“Menerusi kelab ini, kita mahu meningkatkan kerjasama dan ukhwah antara 34 ketua balai di Selangor terutama ketika berhadapan dengan sesuatu situasi kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran KKB oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman di sini.
Azmel berkata KKB itu, yang pertama seumpamanya di negara ini, juga menjadi satu platform bagi merapatkan hubungan antara ketua balai baharu dan lama di Selangor yang tidak mengenali antara satu sama lain.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Selangor merupakan negeri yang paling banyak menerima panggilan kecemasan untuk pelbagai kes dengan anggaran 20,000 kes setahun. – BERNAMA