BANDAR SERI BEGAWAN – Ia bukan sahaja tindakan biadab malahan dianggap sebagai amat terdesak apabila sanggup tergamak eksploitasi nama sultan untuk kepentingan politik peribadi.
Lebih aib, ‘askar siber’ Pakatan Harapan (PH) di Malaysia dikesan mempergunakan laman sosial palsu konon Sultan Hassanal Bolkiah menyokong usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk ‘melawan’ Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mesej yang disebarkan sejak Khamis lalu menjadi tular dalam kalangan netizen tempatan yang langsung percaya Sultan Brunei berkenan menyebelahi tokoh veteran berusia 92 tahun itu untuk menang pilihan raya umum ke-14.
Justeru Polis Diraja Brunei (PDB) memberi amaran tegas sambil mengingatkan orang ramai agar tidak percayai berita atau fakta diragui yang disebarkan melalui akaun media sosial tertentu sama ada dari dalam atau luar negeri.
Media Brunei melaporan, laporan palsu berbaur hasutan antikerajaan itu disebarkan menerusi Facebook, Twitter, Whatsapp selain Instagram dengan menyalahgunakan identiti atau nama pembesar, kenamaan dan sebagainya.
Baca: Brunei Lancar InfoDeptBN Tangkis Berita Fitnah, Palsu
Akaun tersebut menurut jurucakap PDB disyaki mempunyai unsur penipuan dan berita tidak benar bertujuan untuk memperdayakan orang ramai selain menimbulkan ketegangan serta suasana tidak senang dalam kalangan rakyat.
PDB turut menasihatkan masyarakat agar semak kesahihan maklumat disebarkan melalui aplikasi InfoDeptBN dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Brunei di bawah Pejabat Perdana Menteri yang dilancarkan pada Mei lalu.
Terdahulu, netizen di Malaysia kecoh dengan penularan mesej kononnya daripada Sultan Brunei yang memuji Mahathir untuk menggulingkan Najib dan menggelarkan pemimpin PH belum didaftarkan sah itu sebagai Master.
Namun, akaun sosial yang menggunakan nama H. H. Haji Hassanal Bolkiah itu didapati palsu kerana baginda tidak pernah memiliki laman tersebut dan mesej ditulis itu sendiri agak diragui berdasarkan gaya lenggok bahasanya.
Untuk rekod, Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya dahulu tiada hubungan baik dengan institusi beraja malah bertindak biadab mengehadkan kuasa sultan yang boleh didakwa di mahkamah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA