BERANG selepas cinta ditolak, seorang lelaki serta tiga orang rakannya tergamak merogol sebelum membunuh gadis idamannya itu dalam satu kejadian di Indonesia, baru-baru ini.
Memetik sumber, mangsa dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu sebelum mayatnya ditemui pada Rabu lepas dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
Hasil tinjauan beberapa portal, kami difahamkan kejadian ini bermula apabila suspek yang tidak didedahkan identiti dipercayai meluahkan perasaannya namun ditolak oleh mangsa.
Ekoran malu dengan apa yang berlaku, suspek utama dan tiga orang rakannya dipercayai bertindak menarik tudung mangsa dan menyeretnya ke tepi sungai.
Setibanya di kawasan berkenaan, tangan dan kaki mangsa yang dikenali sebagai Siti Marhatusolihat telah dipegang oleh tiga rakan kepada suspek.
Kemudiannya, suspek utama yang dipercayai berusia 17 tahun itu merogol mangsa dan perbuatan keji itu dilakukan secara bergilir-gilir.
Tidak habis di situ sahaja, suspek dikatakan turut berlaku kejam dengan mengetuk kepala mangsa menggunakan batu sebelum membenamnya ke dalam air beberapa kali sehingga meninggal dunia.
Takut perbuatan itu diketahui oleh orang lain, suspek nekad menanam mayat mangsa di dalam sungai berkenaan dengan cara jasad berkenaan diletakkan batu selain menggunakan buluh sebagai penghalang ia timbul ke atas permukaan air.
Bagaimanapun bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.
Kejadian tersebut terbongkar selepas suspek dipercayai cuba melarikan diri selepas kawasan berkenaan digemparkan dengan perkhabaran penemuan mayat seorang gadis.
Susulan perkara itu, pihak polis berjaya memberkas suspek dan tiga lagi rakan yang lain atas bantuan maklumat yang diberikan olehnya.
Dalam pada itu, hasil bedah siasat mendapati mangsa yang berusia 18 tahun itu mengalami retak pada tengkorak kepala selain patah pada bahagian rahang dan tulang hidung.
Sementara itu, Ketua polis Serang AKP Gogo Galesung berkata kes ini disiasat di bawah Pasal 338 dan Pasal 339 di mana pesalah boleh dikenakan hukuman tembak mati atau dipenjara seumur hidup. – MYNEWSHUB.CC/AM