SELEPAS bergelar sebagai sorang isteri, pelakon Izara Aishah kini baru merasai bahawa dirinya seperti seorang wanita dewasa.
“Suasana berbeza selepas duduk dengan suami, saya baru rasa ada tanggungjawab dan seperti orang dewasa.
“Semuanya saya buat sendiri kerana kami tiada pembantu rumah. Namun tiada masalah dan Alhamdulillah, suami seorang yang sangat mudah dijaga,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Izara atau nama sebenarnya, Nik Izara Aishah Nik Izaudin, 25, kini sudah berpindah ke rumah suaminya, Adib Khalid selepas mendirikan rumah tangga pada 17 November lalu.
Kini, Izara juga sering berkunjung ke rumah penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang juga merupakan ibu tiri kepada Adib! Wahhh… Bestnya, mesti hari-hari boleh request Tokti menyanyi.
Ketika ditanya mengenai cahaya mata, pelakon yang murah dengan senyuman itu dikatakan telah menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
“Buat masa ini belum fikir lagi, kalau boleh biarlah perlahan-lahan kerana kami baru sahaja berkahwin. Tapi kalau diberi rezeki itu kami bersyukur,” tambahnya lagi.
Sebagai suami, Adib sangat memahami kerjaya isterinya itu sebagai seorang pelakon.
Jadi, Adib tidak meletakkan sebarang syarat mahupun batasan jika Izara mendapat tawaran berlakon bersama dengan mana-mana pelakon lelaki dalam masa akan datang.
Tambah Izara, Adib juga tidak pernah ada perasaan cemburu melihat lakonannya bersama dengan pelakon lelaki lain kerana baginya itu merupakan asam garam sebagai seorang pelakon.
“Dia tidak cemburu, kadang-kadang saya pelik juga tapi mungkin dia juga berada dalam industri dan memahami perkara itu,” tambah pelakon yang kini sedang popular menerusi drama Dia.
Selain itu, dalam masa terdekat ini, Izara bakal ‘berkampung’ di lokasi penggambaran bagi menjayakan sebuah drama yang bertajuk Jodoh-Jodoh Anisa yang bakal ditayangkan sebanyak 100 episod!
Drama berkenaan akan dibintangi oleh ramai barisan pelakon hebat iaitu antaranya Aaron Aziz, Johan As’ari, Hafreez Adam dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH