JIKA keadaan keluarganya tidak serba daif dan terdesak, pasti lelaki ini tidak akan gigih berenang di tengah lautan demi mencari nafkah.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Abbey An Hernandez telah memuat naik gambar menunjukkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an sedang berenang di lautan Lian, Filipina bersama dengan peti aiskrim demi melariskan jualannya.
“Apabila saya mula melihat dia mula menjualnya, terus saya membeli aiskrimnya,” kata Abbey di Facebook miliknya.
Perkongsian itu telah menyentuh hati ramai netizen yang bersimpati dengan keadaan lelaki tersebut dan kagum dengan usahanya mencari sesuap nasi buat keluarganya.
Difahamkan juga terdapat beberapa lagi pelancong yang turut terserempak dengan lelaki berkenaan di tengah lautan tersebut.
Mungkin dia menganggap bahawa sesiapa sahaja akan berasa lapar ketika berada di lautan.
Jadi dia mengambil pendekatan sedemikian dengan cara menjual aiskrim di lautan itu.
Mudah-mudahan lepas ni ramai lagi yang akan berjumpa dengan lelaki berkenaan agar rezekinya akan bertambah dan tak perlu lagi berenang di tengah lautan.
Tindakannya itu sememangnya membahayakan dirinya sendiri, namun apakan daya jika jualannya tidak laris di daratan, lautan pula menjadi pilihan sebagai lokasi berniaga.
Kalau di Malaysia pula, baru-baru ini ada kejadian seorang makcik tua menjual nasi lemak di tengah jalan apabila kereta berhenti di lampu isyarat.
Bukan mudah sebenarnya mencari rezeki demi sesuap nasi. Kalau kita sendiri yang melihat sudah merasa kepayahan mereka, inikan pula mereka yang terpaksa menanggung kepayahan hidup seperti itu.
Justeru, banyak benda yang boleh kita syukuri sebenarnya dalam hidup kita. Selepas membaca kisah ini, balik rumah nanti peluklah mak ayah tanda penghargaan kerana bekerja keras selama ini untuk membesarkan kita! – MYNEWSHUB.CC/AH
*Video sekadar hiasan…