KUALA LUMPUR — Seorang pengarah syarikat pelaburan pesisir luar pantai didenda RM49,500 atau penjara 33 bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah tidak membayar cukai pendapatan pekerjanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara tahun 2013 dan 2015.
Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas Roger David Weston Gumbrell, 70, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata kesalahan dilakukan Gumbrell adalah serius dan hukuman yang dijatuhkan mahkamah adalah bagi memberi pengajaran dan mendidik masyarakat terutama majikan dalam melaksanakan kewajipan mereka terhadap pekerja.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara sebulan bagi setiap 33 pertuduhan. OKS juga diperintah membayar RM46,387 kepada LHDN dalam tempoh dua bulan bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar jumlah tersebut OKS boleh dikenakan bayaran penalti waran levi ,” katanya.
Gumbrell membayar denda itu.
Terdahulu ketika rayuan, peguam Terence Phillips yang mewakili Gumbrell memohon mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda minimum mengambil kira reputasi anak guamnya yang telah menjalankan perniagaan di Malaysia sejak 2002 merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di Labuan, Sabah selain ia merupakan kesalahan pertamanya.
Pegawai Pendakwa Noor Akhmar Mohd Khatli memohon OKS dijatuhi hukuman penjara dengan alasan OKS telah melakukan pecah amanah dengan menolak wang daripada gaji pekerja tetapi tidak membayarnya kepada pihak LHDN dan menyebabkan pelbagai kesulitan kepada pekerja.
“Pekerja terlibat di syarikat itu juga telah ditahan oleh pihak Imigresen untuk ke luar negara dan telah menyusahkan mereka,” katanya.
Gumbrell sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan sebagai pengarah yang bertanggungjawab bagi syarikat PI Limited telah gagal untuk membayar kepada Ketua Pengarah LHDN jumlah cukai yang dipotong daripada saraan pekerja dengan tiada sebab yang munasabah telah tidak mematuhi peruntukan mengikut kaedah 10(1) Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2013 dan Disember 2015 melibatkan jumlah RM238,122.
Seramai tiga saksi pihak pendakwaan dan seorang saksi pihak pembelaan iaitu tertuduh dipanggil memberi keterangan pada prosiding perbicaraan yang bermula 2016. — BERNAMA