REPTILIA berbahaya seperti ular menjadi pilihan buat pencinta haiwan eksotik untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Meskipun pemilik haiwan itu menjaga reptilia tersebut dengan baik dan penuh kasih sayang, namun itu tidak bermakna haiwan itu tidak akan mengikuti fitrah semulajadinya.
Minggu lalu, seorang remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia dilaporkan maut setelah dipatuk ular tedung peliharaannya.
Menurut satu portal tempatan, remaja yang dikenali sebagai Aril itu telah memuat naik beberapa foto menerusi aplikasi WhatsApp Status.
Gambar-gambar yang dimuat naik pada 11 Disember lalu dipercayai sebagai meminta bantuan kepada kenalannnya.
Gambar pertama yang dimuat naik sekitar pukul 9.50 malam waktu tempatan menunjukkan reptilia itu agak agresif selepas dimandikan oleh Aril.
Namun, empat minit selepas foto itu dimuat naik, satu lagi foto menyusul.
Tetapi, kali ini gambar tersebut menunjukkan tangan Aril yang berdarah akibat dipatuk ular tersebut.
Menurut ibunya, Neuis Marpuah, Aril bersendirian di rumah ketika kejadian. Ibunya itu sedang bekerja dan ayahnya pula berada di luar negara.
“Aril memuat naik status itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi untuk meminta bantuan daripada rakan-rakannya.
“Disebabkan tiada siapa yang datang, dia telah memuat naik status yang berbunyi, ‘Jika anda rasa anda kawan saya, tolong hantar saya ke hospital’,” kata ibunya.
Tambah Neuis, Aril atau nama sebenarnya Syahril Sultan Nasir dikatakan sudah cuba menghubungi rakan-rakannnya yang lain, namun, panggilannya tidak disambut.
Perkara itu menyebabkan Aril bertindak memuat naik foto-foto tersebut di laman WhatsApp dengan harapan ada kenalannya yang melihat status itu dan datang menghulurkan bantuan.
Bagaimanapun, Aril dibawa ke hospital pada 11 pagi keesokan harinya oleh rakan-rakannya. Malangnya, Aril disahkan meninggal dunia pada 10 malam hari yang sama.
Khabarnya, Aril sememangnya seorang pengumpul reptilia berkenaan sehinggakan sudah memiliki lebih sedozen ekor ular.
Aril sering membuat persembahan bersama ular peliharaannya bagi mengumpul dana yang disalurkan kepada mangsa bencana. – MYNEWSHUB.CC/SA