MELAKA – Dua pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di negeri ini terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan pertuduhan pindaan memiliki 201.12 gram kanabis oleh Mahkamah Tinggi di Ayer Keroh di sini hari ini.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas tertuduh Muhammad Afizul Syafiq Md Azman, 20, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan dan tertuduh Muhammad Hazrin Baba, 20, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan pindaan yang dibacakan semula oleh jurubahasa.
Muhammad Afizul Syafiq dijatuhi hukuman penjara 10 tahun penjara dengan 13 sebatan iaitu tujuh tahun penjara dengan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan tiga tahun penjara dengan tiga sebatan bagi kesalahan kedua.
Bagaimanapun dia hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun dengan 13 sebatan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai 20 Sept 2016, manakala rakannya, Muhammad Hazrin dihukum penjara 15 bulan bermula tarikh sama.
Vazeer Alam ketika membuat keputusan itu turut menasihati kedua-dua tertuduh supaya menjadikan kesalahan dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka sebagai pengajaran pada masa akan datang.
“Insaflah, kamu pesalah muda. Kamu dan keluarga kamu sudah lalui peristiwa pahit ini dan jadikanlah ia sebagai pengajaran dan jangan ulangi lagi. Jadilah warganegara yang baik dan jagalah nama baik keluarga. Negara kita banyak menyediakan peluang untuk belajar,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Muhammad Afizul Syafiq didakwa memiliki 201.12 gram kanabis di tepi Jalan Delima 2, bersebelahan Plaza Bukit Beruang , Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang di sini pada 3.40 petang, 20 Sept 2016.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan maksimum 10 sebatan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Muhammad Afizul Syafiq didakwa memiliki 25.12 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.
Tertuduh Muhammad Hazrin pula didakwa memiliki 0.22 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun maksimum atau kedua-duanya.
Sebelum ini kedua-dua tertuduh didakwa bersama mengedar 201.12 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati namun pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu terhadap mereka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazrill Ghazali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Anwar Ab. Raof dan Muhamad Aizat Fakri. – BERNAMA