KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun depan serta lebih banyak pengurangan defisit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia, ekonomi Malaysia berkembang daripada kedudukan yang kukuh.
“Kita terus mengambil semua langkah yang perlu untuk membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan dan kebahagian rakyat Malaysia,” katanya dalam Perutusan Tahun Baru 2018 yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.
Najib menyifatkan 2017 sebagai tahun yang banyak mencapai kejayaan bagi Malaysia.
“Ekonomi kita melangkaui segala jangkaan, dengan Bank Dunia menyemak semula unjurannya bagi pertumbuhan kita tahun ini dengan menaikkannya bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali – ke paras sangat kukuh pada 5.8 peratus,” katanya.
Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan banyak lagi badan bebas terkemuka dunia, kata Najib, memuji pengurusan ekonomi berhemat Kerajaan selain mengakui daya tahan dan daya saing ekonomi telah dikuatkan demi kebaikan rakyat Malaysia.
“Sentimen ini diperkukuhkan lagi menerusi keyakinan yang ditunjukkan oleh masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sepanjang tahun lalu,” katanya.
Sebagai contoh, kata Najib, pada Februari tahun ini Saudi Aramco mengumumkan ia melabur sebanyak US$7 bilion dalam Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas di Johor – menjadikan ia pelaburan hiliran terbesar Aramco di luar Arab Saudi.
HSBC melabur lebih RM1 bilion untuk membina ibu pejabat serantau baharunya di Tun Razak Exchange.
“Dan banyak lagi syarikat multinasional yang mengikut jejak langkah, melabur dan membuka operasi mereka di Malaysia,” katanya.
“Seperti yang dijelaskan oleh Jack Ma daripada Alibaba, beliau memilih Malaysia untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di luar China pada 2017 kerana persekitaran mesra perniagaan yang cekap yang diwujudkan oleh Kerajaan,” kata Najib.
Pelaburan ini, bangunan baharu, perniagaan baharu dan projek prasarana baharu – daripada Lebuh Raya Pan Borneo hinggalah kepada pengangkutan awam yang hebat seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) di Lembah Klang, kata Najib, telah dan akan membawa perubahan nyata kepada rakyat Malaysia.
“Lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana berpeluang untuk mendapat akses lebih mudah ke pasaran global, terutamanya ke pasaran China, menerusi DFTZ, sebagai contoh; dua fasa pertama Laluan Sungai Buloh-Kajang MRT telah mewujudkan 130,000 peluang pekerjaan di mana 70,000 adalah pekerjaan langsung,” katanya.
Lebih membanggakan lagi, kata Najib, projek ini siap lebih awal daripada yang dijadualkan dan menjimatkan RM2 bilion daripada kos yang diperuntukkan – yang menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan mengendalikan projek berskala besar pada masa depan, seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), yang akan dapat banyak membantu penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan meningkatkan ekonomi tempatan mereka.
“Saya sedar bahawa ada antara kita masih berdepan dengan cabaran dan kesukaran, tetapi langkah-langkah telah diambil – dan akan terus diambil -bagi memastikan pertumbuhan negara kita terus mampan dan inklusif dan dapat memanfaat setiap segmen masyarakat.
“Ini adalah kerana saya ingin semua mendapat nikmat dari kemajuan negara yang sedang kita bina, dan agar tiada seorang pun rakyat Malaysia yang ketinggalan.
“ Inilah sebabnya dalam bajet baru-baru ini, saya telah mengumumkan pengurangan cukai, peruntukan untuk petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah, diskaun pembiayaan pengajian buat para pelajar, waktu kerja lebih mudah bagi wanita hamil dalam perkhidmatan awam, dan banyak lagi langkah-langkah lain untuk membantu meringankan beban rakyat dan memudahkan penyertaan penuh mereka ke dalam masyarakat,” kata Najib.
Perdana Menteri berkata dalam demokrasi, yang paling penting adalah keinginan dan kehendak rakyat teramai seperti yang tercatat dalam peti undi, bukan kehendak peribadi seseorang untuk mewujudkan dinasti.
“Juga, amatlah tidak bertanggungjawab bagi ahli politik untuk menentang sesuatu semata-mata demi membangkang Kerajaan – meskipun secara peribadi mereka bersetuju bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan itu adalah tepat.
“Kita lihat ia berlaku berulang kali, sama ada dalam isu GST – yang dipuji hampir setiap ahli ekonomi terkemuka di seluruh dunia, dan satu dasar yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara lain termasuk India dan Arab Saudi – mahupun mengenai 1Malaysia.
“Tokoh pembangkang mengakui secara senyap-senyap bahawa mereka menyokong konsep ini untuk menggalakkan perpaduan negara – sesuatu yang semua rakyat Malaysia bersifat patriotik perlu sokong – tetapi mereka menentangnya atas dasar kepentingan politik peribadi. Ini amat memalukan,” katanya.
Pada 2017, beliau berkata, Malaysia meraikan ulang tahun ke-60 sejak laungan “Merdeka!” di Padang di Kuala Lumpur.
“Walaupun kita hidup di dunia yang sangat berbeza hari ini, dengan cabaran yang amat berbeza, saya percaya bapa-bapa kemerdekaan kita akan berbangga melihat apa yang telah rakyat Malaysia kecapi di dekad-dekad sejak kemerdekaan,” kata Najib. – BERNAMA