PENGGEMAR aktiviti ekstrem, Mohd. Khairizal bakal mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang akan mewakili negara dalam Ekspedisi Fjällräven Polar 2018.
Mohd Khairizal, 42, atau lebih mesra dipanggil sebagai Rizal berjaya memperoleh 6613 undian selepas tempoh mengundi yang dibuat secara dalam talian ditutup pada jam 5 petang sebentar tadi.
Dalam pertandingan yang dibuat menerusi proses undian melalui laman web www.polar.fjallraven.com, Rizal bersaing dengan 93 peserta lain bagi rantau Asia-Oceania.
Mengikut peraturan pertandingan tersebut, peserta yang mendapat undian tertinggi secara automatik layak menyertai ekspedisi ini.
Namun, peserta dengan undian kedua tertinggi akan dinilai oleh juri profesional berdasarkan kualiti dan kriteria permohonan mereka.
Di dalam cabaran ‘Fjällräven Polar’, para peserta akan menggunakan bantuan peluncur sled anjing dengan sendirinya merentasi hutan gunung bersalji sejauh 300 kilometer.
Perjalanan selama seminggu yang bermula di pinggir Signaldalen di Norway itu bakal berakhir di kawasan Väkkäräjärvi di Lapland, Sweden.
Peserta juga perlu mengendalikan anjing baka Huskies, menyediakan makanan mereka sendiri dan mendirikan tapak perkhemahan.
Sejumlah 20 peserta dari seluruh dunia yang dibahagikan kepada 10 wilayah bakal menyertai ekpedisi yang bakal menguji tahap mental dan fizikal ini.
Sejak dianjurkan pada 1997 oleh syarikat Fjallraven Raven, pertandingan itu berjaya menarik penyertaan ribuan peserta daripada seluruh pelosok dunia. – MYNEWSHUB.CC