AWAL bulan lalu, pelakon Mia Ahmad mengakui mengalami keguguran. Namun sehingga kini, dia masih enggan membuka mulut untuk bercerita lebih lanjut tentang perkara tersebut.
Baca: Belum Ada Rezeki, Mia Ahmad Keguguran
Jelasnya, dia tidak lagi bersedih dengan berita itu dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan itu.
Menurutnya, dia tidak mahu berkongsikan pengalaman pahit kepada umum kerana ia merupakan perkara pertama kali yang terjadi dalam hidupnya.
“Apa yang saya boleh katakan, saya tidak lagi bersedih dan reda dengan takdir yang sudah tertulis buat saya.
“Buat masa ini, saya nak berehat sahaja. Nak jaga makan dan jaga badan saya supaya bertenaga semula,” katanya dipetik mStar Online.
Menurut pemilik nama Samihah Ahmad Baderi ini, walaupun menjalani proses pantang seperti wanita yang turut mengalami keadaan yang sama dengannya, perkara itu tidak dikongsikan kepada umum untuk mengelakkan pertikaian.
“Saya juga melalui proses berpantang seperti wanita lain yang mengalami keguguran. Saya banyak tanya pada ibu dan mertua cara untuk jalani proses itu.
“Selama 20 hari saya berpantang. Tapi orang tak tahu sebab saya memang tak berkongsi apa-apa di laman sosial.
“Takut nanti kalau letak gambar pakai stoking atau kapsyen sedang berpantang, ada yang mempertikaikan pula,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon 29 tahun ini dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Mr Boss Miss Stalker pada Anugerah Telenovela 2017 yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, kemenangan itu sebagai bukti kesungguhannya terlibat dalam bidang lakonan.
“Kemenangan ini antara salah satu bukti saya berusaha keras dalam lakonan. Biarpun pada awalnya, menerima banyak kritikan,” ujarnya.
Tambah isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ini lagi, kritikan itu diambil sebagai pembakar semangat untuknya memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang.
Mia telah mendirikan rumah tangga bersama Izham Tarmizi pada 13 Januari lalu di Taiping, Perak. – MYNEWSHUB.CC