KONTROVERSI kononnya pelakon berbakat besar, Farid Kamil yang tular ‘menghilangkan diri’ daripada set penggambaran rupa-rupanya adalah palsu semata-mata!
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari menegaskan bahawa dia telah mengalami kecederaan akibat terkena hujan buatan dalam satu babak drama Lafazkan Kalimah Cintamu.
“Saya sebenarnya terpaksa bergegas ke hospital sejurus selepas mengalami gatal-gatal pada bahagian kaki, yang menyukarkan saya untuk memakai seluar.
“Justeru, cerita yang timbul mengatakan saya menghilangkan diri adalah tidak benar sama sekali dan pihak produksi sendiri mengetahui bahawa ketiadaan saya adalah disebabkan cuti sakit.
“Sebagai pelakon, saya juga mempunyai hak untuk menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan diri, apatah lagi kecederaan dialami.
“Ia berlaku ketika menjayakan adegan menggunakan hujan palsu. Bukan saya saja, malah Nelydia turut mengalami gatal-gatal seluruh badan,” katanya dipetik daripada BH Online.
Dalam masa yang sama, pelakon yang merupakan suami kepada Diana Danielle itu turut menolak sekerasnya dakwaan kononnya dia hilang selama seminggu daripada set penggambaran tersebut.
Drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu merupakan drama di bawah arahan Along Kamaludin dan bakal disiarkan sebanyak 32 episod menerusi sebuah stesen tv.
Farid turut menambah bahawa dia bukanlah ingin memperbesarkan hak tersebut malah sama sekali tidak pernah membangkitkan isu itu sehingga dia ditanya oleh pihak media.
“Bukan saya sengaja membuat cerita kerana sebelum ini, saya pernah menjayakan adegan dalam hutan dan sebagainya. Cuma, saya tidak mahu ada sesetengah pihak yang memandang remeh soal keselamatan artis yang berlakon.
“Apa yang jadi ni saya anggap sebagai perkara serius. Nasib baik cuma gatal-gatal. Kalau kena lagi teruk macam mana?” tambahnya lagi.
Pelakon berusia 36 tahun itu juga memberitahu bahawa dia akan mula kembali ke set selepas kembali pulih daripada kecederaan.
Perkara seperti kecederaan semasa menjalani penggambaran ni sebenarnya memang tak ada siapa yang boleh jangka. Cuma langkah keselamatan setiap krew perlu dititip beratkan. – MYNEWSHUB.CC/AH
* Video sekadar hiasan…