LIMA – Bekas pemimpin Peru yang kini sakit, Alberto Fujimori, semalam meminta maaf kepada rakyat negara berkenaan, dua hari selepas mendapat pengampunan presiden yang mencetuskan bantahan.
“Saya sedar keputusan kerajaan cuma disambut baik sebelah pihak, tetapi saya mengaku mengecewakan ramai rakyat dan dengan sepenuh hati saya meminta mereka maafkan saya,” katanya dalam video Facebook yang dirakamkan di hospital.
Bekas pemimpin berusia 79 tahun itu menjalani hukuman penjara 25 tahun di atas kesalahan rasuah dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan ketika pentadbirannya sejak 1990 hingga 2000.
Beliau dipindahkan dari penjara ke hospital Ahad lalu selepas mengalami tekanan darah rendah dan degupan jantung tidak teratur.
Dalam video itu, Fujimori terbaring di atas katil memakai baju putih, dengan alat tekanan darah pada lengan kanan dan satu lagi alat pemantau dikenakan pada jari tengah kirinya.
Katanya, pengampunan itu mengejutkannya dan mencetuskan perasaan bercampur ‘keseronokan dan kesedihan’.
Presiden Pedro Pablo Kuczynski mengarahkan Fujimori dan tujuh lagi diberi pengampunan Ahad lalu atas dasar kemanusiaan, meletakkan beliau dalam krisis politik selepas berjaya mengelakkan pemecatan beberapa hari sebelum itu. – AFP/BH ONLINE