KOTA KINABALU – Seekor gajah jantan, yang ditangkap di sebuah ladang sawit di Telupid bulan lepas, mati di Santuari Hidupan Liar Borneo di Kinabatangan, Rabu lepas.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata haiwan itu, yang dianggar berusia enam atau tujuh tahun, mempunyai tanda kecederaan ketika ditangkap Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar.
Katanya, gajah itu dilaporkan bertindak agresif terhadap pekerja ladang dan penduduk kampung di kawasan sekitar, yang membawa kepada penangkapannya pada 24 Nov lalu di Desa Plantation dan dihantar ke Santuari Gajah Borneo.
“Semasa menjalani pemeriksaan dan rawatan perubatan, lidahnya didapati luka teruk, dipercayai akibat terkena tembakan.
“Luka pada lidahnya menyebabkan gajah itu tidak berupaya untuk makan atau minum,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Tuuga berkata bedah siasat mendapati sebutir peluru tertanam pada kaki kiri gajah itu dan terdapat kesan terkena tembakan pada badannya, tetapi tidak menembusi atau menyebabkan sebarang kecederaan organ.
“Dehidrasi dipercayai menjadi punca kematian kerana gajah itu tidak berupaya untuk minum akibat kecederaan pada lidahnya,” kata beliau.
Tuuga berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah akan menyiasat kes itu kerana ia melibatkan kematian spesies yang dilindungi sepenuhnya.
“Walaupun Jabatan Hidupan Liar Sabah memahami sepenuhnya masalah yang dihadapi penduduk berkaitan gajah di kawasan mereka, tetapi kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak berkenaan dengan menghubungi pejabat jabatan ini yang berhampiran bagi membantu menghalang gangguan dan kerugian terhadap harta benda,” katanya. – BERNAMA