KUALA LUMPUR – Dasar Pendidikan Tahfiz Negara mendapat perhatian beberapa perwakilan yang membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.
Mereka antara lainnya mahu kerajaan segera menggubal dasar itu bagi memperkasakan pendidikan tahfiz di Malaysia.
Wakil Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah berkata dasar berkenaan dapat menjamin masa depan dan hala tuju pelajar tahfiz, seterusnya melahirkan golongan profesional dan teknokrat huffaz (penghafal al-Quran).
“Dasar ini amat baik dengan didasarkan oleh Presiden (UMNO) yang mendengar suara hati rakyat, kehendak rakyat. Jadi Dasar (Pendidikan) Tahfiz Negara ini (diharapkan) termakbul. Alhamdulillah, kita sudah ada sembilah MRSM Ulul Albab (termasuk lima yang dalam pembinaan) dan 30 SMKA Ulul Albab … ini merupakan perkembangan amat baik.
“Maksud kerajaan, mereka nak al-Quran diletakkan paling tinggi dalam pentadbiran. Jadi, kita wajib menyokong kerajaan yang ada sekarang ini. Mudah-mudahan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional berteraskan matlamat pendidikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan berjaya,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini menyatakan bahawa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, yang akan menjadi garis panduan kepada pengwujudan pusat tahfiz termasuk milik swasta, kini di peringkat akhir mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Melalui pengenalan rangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, empat modul kurikulum iaitu Tahfiz Turath, Tahfiz Sains, Tahfiz Dini dan Tahfiz Kemahiran akan digunakan institusi tahfiz untuk menjamin kualiti dan masa depan lepasan pelajarnya.
Bagi menangani isu-isu agama yang tular di media sosial, Mohd Nashrol Hisham mencadangkan agar Biro Agama UMNO mewujudkan satu portal dakwah dan pasukan ‘da’ie keyboard warriors’ bagi menjawab isu-isu berkenaan dengan pantas dan berkesan.
“Kita tidak mahu ustaz-ustaz jadian berdebat (hujah) macam-macam dan ikut akal pemikiran. Mudah-mudahan Biro Agama UMNO buat portal ini dan orang akan melihat inilah perjuangan UMNO…kalau dengan adanya isu-isu semasa, akan terjawab dalam laman sosial media,” katanya.
Sementara itu, wakil Pergerakan Wanita UMNO Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah mencadang program Ulul Albab diperluas ke peringkat sekolah menengah berasrama penuh, sekolah menengah harian dan sekolah menengah agama bantuan kerajaan serta peringkat sekolah rendah.
Menyifatkan Ulul Albab sebagai model baru pembinaan kepimpinan generasi TN50, Ketua Wanita UMNO Alor Setar itu berkata wanita UMNO ingin melihat laluan pendidikan murid Tahfiz, Ulul Albab dibuka seluas-luasnya.
“Berilah ruang dan peluang kepada mereka untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi di universiti awam dan swasta, seterusnya mereka boleh mendapat tempat dalam pasaran kerja. Menjelang peperiksaan SPM 2019, negara akan mempunyai 13,070 murid tahfiz dan ulul albab serta Kurikulum Bersepadu Tahfiz,” katanya
Program Ulul Albab diperkenalkan di MRSM Kota Putra, Terengganu pada 2009 diikuti MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (2010), MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang (2011) dan MRSM Sungai Besar, Selangor (2016). Sehingga kini, 1,164 hafiz berjaya dilahirkan dan kerajaan akan membina lima lagi MRSM Ulul Albab.
Sharifah Maznah berkata kerajaan perlu mencari formula khas bagi membolehkan kira-kira 56,000 murid aliran agama meneruskan pengajian selepas SPM 2019 kerana pengambilan pelajar aliran agama ke Universiti Awam sekarang kira-kira 4,000 orang.
Setakat ini, katanya, hanya Kolej Universiti Islam Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersedia menawarkan kursus berkaitan Tahfiz Model Ulul Albab dan ini bermakna lebih 93 peratus pelajar aliran agama tidak berpeluang melanjutkan pengajian di Universiti Awam.
Sharifah Maznah turut mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan pusat tahfiz aliran sains, kejuruteraan, teknologi bersesuaian dengan keperluan semasa program Ulul Albab di sekolah dan TVET (pendidikan teknikal dan latihan vokasional) di kolej-kolej vokasional.
“Ini penting kerana 60 peratus penawaran kerja pada masa depan adalah untuk mereka yang mempunyai kemahiran TVET,”katanya.
Wakil Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif pula secara berseloroh berkata barisan kepimpinan negara mengamalkan konsep ulul albab, iaitu membantu rakyat yang berada di bawah payung mereka dan bersikap adil saksama.
“Kalau tidak membantu bukanlah ulul albab, itu Ahmad Albab (dalam filem). Kalau sudah menteri jadi Ahmad Albab, maka jin akan berkata ‘ini semua Ahmad Albab yang punya,” kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kimanis itu sambil disambut gelak tawa para perwakilan. – BERNAMA