TUGAS paling ‘berat’ sebagai seorang komposer adalah untuk menemui keserasian antara lagu yang dicipta dengan penyanyinya; jika kedua-dua lagu dan nyanyiannya ‘ngam’, memang meletup-letup single yang dikeluarkan itu!
Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini kini semakin menjadi rebutan ramai penyanyi baharu.
Selepas lagu nyanyian dan ciptaannya sendiri yang bertajuk Jampi bagaikan ‘sihir’ kepada pendengar, semakin ramai penyanyi mahu bekerjasama dengannya.
Kini, penyanyi Amira Othman telah berjaya mendapatkan Hael untuk bekerjasama dengannya menerusi lagu baharunya, Mimpi Indah.
Sebelum ini, lagu Hati-Hati nyanyian Amira pernah dikomposkan oleh Hael sendiri dan lagu tersebut telah menjadi runut bunyi bagi drama Sha & Shah lakonan Kamal Adli dan Syatilla Melvin.
Amira dikatakan sangat kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh bekas anggota kumpulan duo Azhael itu.
Selain Amira, banyak lagi lagu yang mendapat sentuhan daripada Hael, antaranya lagu Girl (Dafi), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila), Rempuh (Black dan Tomok), Dia (Dayang Nurfaizah), Cemburu dan Pematah Hati (Nabila Razali) serta banyak lagi.
“Selepas Hati-Hati, secara tidak langsung saya percaya Hael lebih tahu arah tuju dan genre lagu yang sesuai dengan saya. Dia seorang komposer yang sangat kreatif.
“Selalunya, saya menyukai idea yang dicetuskan olehnya. Malah, kami juga boleh dikatakan mempunyai pendapat lebih kurang sama dalam perbincangan berkaitan pembikinan lagu,” kata Amira dipetik daripada portal BH Online.
Selain itu, Amira yang juga pelakon bagi drama Abang Bomba I Love You, juga memberitahu bahawa lagu Mimpi Indah diterbitkan oleh Edry Abdul Halim dan bakal dilancarkan pada bulan hadapan.
“Sekarang, kami masih dalam proses menyunting video muzik lagu berkenaan. Andai tiada aral melintang, lagu ini akan mula dipromosikan dalam masa terdekat.
“Ketika ini, saya berehat seketika daripada lakonan bagi memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian, yang ditinggalkan sejak setahun lalu,” katanya lagi.
Iyalah, sebelum ni Amira ada mengaku bahawa dia sangat memilih kalau bab lagu ni. Mungkin Hael adalah orang yang sesuai bagi memberikan yang terbaik untuk Amira bagi lagu baharunya.
Nampaknya Hael pun dah jadi rebutan ramai penyanyi. Boleh tahan juga Hael ni ya… Berbakat besar dan sentiasa berikan yang terbaik untuk industri hiburan tempatan. – MYNEWSHUB.CC/AH