PROGRAM Gegar Vaganza 4 sudahpun melabuhkan tirainya semalam dan menyaksikan Aishah menepati ramalan apabila muncul sebagai juara untuk musim kali ini.
Baca: Aishah Muncul Juara GV 4, Raih Hadiah RM100K
Tetapi, ada pula desas desus dan isu yang timbul mengenai kedudukan pemenang tempat ketiga dan keempat yang masing-masing disandang oleh Lan Solo dan Hazami.
Rata-rata peminat Hazami seperti tidak puas hati dengan keputusan yang diumumkan. Kata mereka, penyanyi Mungkir Bahagia ini selayaknya menduduki tempat ketiga kerana prestasinya yang konsisten setiap minggu.
Namun, kedua-dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang menjelaskan tentang isu berkenaan.
Menurut Ramli, kesalahan yang dilakukan Hazami semasa kedua-dua persembahan mempengaruhi markah yang diberikan.
Katanya, sewaktu persembahan battle, iaitu berduet dengan Lan menerusi lagu Amboi, Hazami terlupa lirik dan nyanyiannya untuk persembahan solo seakan goyang.
“Saya pakai earphone. Yang jelas sewaktu battle, Hazami lupa lirik. Manakala sewaktu solo, nyanyiannya goyang.
“Sewaktu latihan, semuanya sempurna kerana tiada penonton dan tiada tekanan serta kelonggaran sepanjang latihan.
“Hazami kelihatan sangat tenang, tidak terlalu risau tentang teknikal, menjiwai. Jadi, saya menganggap dia sangat bagus,” jelas Ramli dipetik Media Hiburan.
Ramli berpendapat persembahan yang dipersembahkan Hazami tidak sesempurna sewaktu latihan akhir kerana dipengaruhi beberapa faktor dan antaranya ialah gemuruh.
Sementara itu, Hetty Koes Endang turut menyatakan pendapatnya tentang persembahan penyanyi itu yang sedikit goyah dengan pergerakan yang dilakukan.
“Sesiapa sahaja yang memasuki pertandingan, jangan sesekali mengambil risiko untuk menyanyi sambil duduk kerana ia mempunyai perbezaan.
“Bagi saya, apabila Hazami bermain piano dan berjalan, ia mempengaruhi nyanyiannya sehingga menyebabkan ia bergetar,” jelas Hetty.
Markah yang diperolehi Lan dan Hazami sememangnya tipis apabila hanya 0.4 peratus sahaja yang membezakan mereka. Lan telah mendapat markah sebanyak 70.4%, manakala Hazami 70%.
Konsert Akhir Gegar Vaganza 4 telah dihoskan oleh Nabil Ahmad bersama Jihan Muse dan berlangsung secara langsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor. – MYNEWSHUB.CC/SA