KUANTAN – Helah seorang buruh warga Nepal untuk melarikan diri dengan berpura-pura terjatuh ke lubang air di sebuah resort di Genting Highlands, tidak berjaya apabila dia ditemui selamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong DSP Zainudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 30-an itu dikhuatiri terjatuh ke lubang air itu pada Isnin lalu, selepas pakaiannya ditemui berdekatan kawasan itu.
“Majikannya membuat laporan mengenai kejadian tersebut dan operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota bomba.
“Bagaimanapun, dia ditemui dalam keadaan selamat di perkarangan resort itu pada pukul 9.30 pagi ini dan telah diserahkan kepada majikannya,” kata Zainudin semasa dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata motif lelaki berkenaan berbuat demikian tidak diketahui dan tidak menolak kemungkinan dia berbuat demikian kerana kurang waras.
Zainudin mengesahkan pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan dan permit yang sah untuk bekerja di sini. – BERNAMA