KUCHING – Projek jambatan bernilai RM41.2 juta yang merentangi Sungai Bako di Kampung Bako kira-kira 26 kilometer dari bandar raya Kuching, kini 85 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya pada September tahun depan.
Dalam taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat tapak pembinaan itu hari ini, pengurus projek Norwati Mohd Ali daripada Jabatan Kerja Raya, berkata pada peringkat awal, projek yang bermula Mac 2016 itu dijangka siap pada Mac 2018 namun dijadualkan semula kepada 8 Sept 2018.
Projek merangkumi pembinaan jambatan sepanjang 280 meter dan sebatang jalan satu lorong gred R3.
Dalam lawatan itu, Najib turut disertai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anggota Dewan Undangan Negeri Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.
Projek itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menghubungkan lebih 3,000 penduduk Kampung Bako yang bergantung kepada bot untuk ke tanah besar setiap hari pada masa ini.
Pada lawatan itu, Najib dan rombongan turut meluangkan masa melakukan tinjauan mesra di sekitar Kampung Bako untuk bertemu penduduk serta menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari di Masjid Al-Hidayah di kampung berkenaan. – BERNAMA