GUA MUSANG – Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu di sini, yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli dan ditutup kepada semua kenderaan sejak 30 Nov lepas, kini dibuka semula hanya kepada kenderaan ringan.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang, Fadhlil Wafi Nordin berkata jambatan merentasi Sungai Nenggiri itu dibuka semula pukul 4 petang semalam selepas kerja membaik pulih kerosakan jambatan itu siap.
“Hasil penelitian ke atas jambatan itu, kita berpuas hati dengan keselamatan pengguna dan ia dibuka semula kepada kenderaan ringan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan itu hari ini.
Jambatan asal di kampung itu runtuh akibat banjir pada 2014 dan sebuah jambatan baharu sedang dibina yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
Jambatan sementara itu pula yang dibina rendah dengan permukaan sungai sering ditenggelami air setiap kali paras air meningkat akibat hujan lebat dan mengambil masa beberapa jam untuk surut. – BERNAMA