KUALA LUMPUR – “Hasrat dan kemampuan para pemimpin DAP berpolitik tidaklah sesekali boleh diperkecilkan.”
Demikian pesanan ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff kepada pengundi Melayu yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Kata beliau, pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang walaupun banyak kali menafikan berhasrat menjadi Perdana Menteri, tetapi pada masa sama berulangkali menyebut mengenai peluang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Beliau memberi contoh kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada 24 Januari 2017 menyebut “satu hari nanti kita akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu.”
Malah, katanya, hasrat besar DAP itu boleh juga diteliti kepada tema ucapan para pemimpin DAP, termasuk yang termuat di dalam buku Lim Kit Siang bertajuk “Time Bombs in Malaysia”.
Tambah beliau, DAP juga konsisten dengan hasrat kawasan pilihan raya di negara ini disempadankan dengan menggunakan prinsip “satu orang satu undi” yang bakal menggandakan jumlah kerusi bandar.
“Saya sendiri mempunyai dokumen sahih yang membuktikan perancangan DAP pada tahun 2013 untuk mengusulkan persempadanan semula kawasan pilihan raya menggunakan prinsip ini dengan mencadangkan pertambahan 222 kerusi Parlimen sekarang menjadi 262 kerusi yang merangkumi 143 kerusi bandar berbanding 119 kerusi luar bandar dan kerusi separa bandar.
“Dengan jumlah kerusi bandar, yang rata-ratanya dimenangi oleh DAP, jauh mengatasi kerusi luar bandar dan kerusi separa bandar, kita tidak perlu menjadi seorang saintis roket untuk meneka dengan tepat parti manakah yang akan menguasai kerajaan,” katannya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, parti yang bakal menguasai kerajaan dengan kaedah persempadanan yang dihasrat DAP itu sama ada akan mewujudkan Perdana Menteri de jure (mengikut undang-undang) atau Perdana Menteri de facto (di balik tabir).
“Larangan mengambil bukan Islam sebagai ketua jelas tertera di dalam Ayat 139 Surah al-Nisa’, Ayat 118 Surah al-‘Imran dan Ayat 1 Surah al-Mumtahanah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC