JOHOR BAHRU – Bekas pemain tengah Argentina, Juan Sebastian Veron kagum dengan kesungguhan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangunkan kelab bola sepak tersebut.
Veron yang juga Presiden Estudiantes de La Plata berkata, beliau telah dibawa melihat fasiliti-fasiliti milik JDT dan `terkejut’ melihat kesungguhan Tunku Mahkota Johor terhadap rakyatnya dan juga kelab bola sepaknya.
“Sejak dari mula saya mengikuti perjalanan pasukan ini, saya dapat melihat bahawa mereka melalui musim yang hebat dengan begitu banyak pencapaian. Terutama di benteng pertahanan dan serangan, meraih pencapaian yang sangat baik.
“Saya amat beruntung dapat datang ke stadium dan menyaksikan perlawanan JDT secara langsung dan ia begitu menakjubkan. Aura yang disampaikan oleh penyokongnya sangat bertenaga,” katanya.
Kenyataan beliau itu disiarkan oleh laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
Terdahulu, Veron berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk melakukan pertukaran dan berkolaborasi dengan JDT dan beliau yakin kedua-dua akan dapat mencapai beberapa persetujuan.
“Saya telah mengembara bersama kelab ‘Category 97 Estudiantes de la Plata’ di mana kami bermain dalam kejohanan yang akhirnya kami menang. Dan kami sentiasa terbuka untuk melakukan pertukaran dan berkolaborasi” katanya. – Mynewshub.cc