KUALA LUMPUR – Seorang jurujual komponen kereta didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini bagi kesalahan mengugut bekas kekasihnya pada awal November lepas.
Majistret Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh Wan Hairuzrizal Wan Habib, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengugut mahu menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya yang berusia 36 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Bukit Antarabangsa pada 6.30 pagi, 5 Nov lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.
“Saya juga merupakan penanggung utama keluarga dan menyara dua orang anak yang masih kecil,” katanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah menghubungi mangsa yang merupakan janda anak empat melalui aplikasi WhatsApp dengan cara menghantar beberapa keping gambar bogel milik mangsa dan memaksa mangsa untuk membalas kembali mesejnya atau dia akan menyebarkan gambar bogel mangsa.
Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan. – BERNAMA