KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil apa sahaja tindakan bagi menghalang pertukaran hak milik tanah strategik FELDA di Jalan Semarak, di sini yang dianggarkan bernilai RM270 juta.
Baca: Pengerusi FELDA Akui Tiga Tanah ‘Hilang’
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menegaskan keempat-empat tanah itu masih dilindungi kerana harta berkenaan memiliki kaveat persendirian dan pihaknya tidak akan membiarkan kepentingan FELDA terjejas berikutan isu penukaran hak milik.
“Kita sedia maklum mengenai perkara ini sejak dari awal tahun dan mengambil beberapa langkah yang sepatutnya.
“Buktinya kita telah melakukan kaveat persendirian pada April, dan melakukan beberapa rundingan dengan pihak terbabit sebelum membuat laporan polis kerana mendapati ada unsur penipuan pada 14 Disember lalu.
“Cumanya bila dah sampai ke tahap ini dan diketahui umum, kita perlu perjelaskan perkara yang sebenarnya bahawa kita telah dan sedang melakukan untuk mengekalkan tanah itu milik FELDA tanpa menjejaskan nama baik FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Menara FELDA di ibu negara, pada Khamis.
Tambahnya, perkara tersebut telah dibincangkan dengan pihak Felda dan jabatan perdana Menteri untuk mencari kaedah bagaimana perkara ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kedudukan FELDA.
“Selain laporan polis untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak berkaitan, juru audit bebas yang dilantik Unit Kawal Selia JPM akan menjalankan audit penuh kepada keseluruhan transaksi bermula bulan depan,” katanya.
Katanya lagi, tindakan sivil akan diambil untuk mengenal pasti pelanggaran pematuhan peraturan dalaman agensi berkenaan dan jika wujud pelanggaran, pihak berkaitan tidak boleh dibiarkan terlepas daripada tindakan.
“Tindakan terhadap syarikat adalah soal kedua dan kedua-dua itu kita akan teliti, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi, tetapi saya tidak menolak kemungkinan tindakan sivil akan diambil terhadap syarikat,” katanya.
Baca: FELDA Mahu Ambil Semula Tanah, Kenakan Tindakan
Tambahnya lagi, ketika berhujah di Parlimen, beliau telah memberitahu terdapat beberapa kes lain yang melibatkan tindakan undang-undang bakal diambil oleh FELDA tidak lama lagi.
“Saya ada memberitahu di parlimen terdapat beberapa kes lain yang bakal FELDA tangani menggunakan tindakan undang-undang.
“Cumanya kita tidak memaklumkan kepada khalayak kerana dikhuatiri mengganggu segala usaha dan siasatan yang kita lakukan.
“Perdana Menteri juga sudah dimaklumkan perkara ini sebaik sahaja kita mendapati ada pertukaran hak milik tanah FELDA sedang dilakukan pada Januari lalu,” tegasnya.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar turut melahirkan kebimbangan perkara ini akan dimanipulasi pihak tertentu untuk memberikan gambaran buruk kepada imej FELDA.
“Jadi tujuan sidang media ini juga adalah untuk memberitahu perkara sebenar yang berlaku.
“Saya percaya selepas perkara ini diketahui khalayak, akan ada pihak tertentu memanipulasi dan menokok tambah cerita seolah-olah menggambarkan FELDA melaksanakan tadbir urus yang lemah.
“Objektif kita ketika ini adalah memastikan tanah-tanah tersebut kekal menjadi milik FELDA. – MYNEWSHUB.CC