KANAK-KANAK berusia 10 tahun ini meninggal dunia dengan cara tragis. Waima masih kecil namun dia telah gantung diri hanya disebabkan video dia dibuli, telah dimuat naik dalam media sosial.
Ashawnty Davis dari Colorado, Amerika Syarikat meninggal dunia selepas mesin sokongan hayatnya dipadamkan di Hospital Kanak-kanak Colorado.
“Ia menyedihkan. Dia hanya kanak-kanak yang membawa kegembiraan kepada semua,’’ kata bapanya, Anthony Davis.
Pada Oktober lalu, Ashawnty, yang merupakan pelajar tahun lima telah terlibat dalam pergaduhan di sekolahnya. Ia dirakamkan oleh pelajar lain dan kemudian video itu dimasukkan ke dalam applikasi dikenali sebagai Musical.ly.
Dalam video itu, Ashawnty dan seorang lagi kanak-kanak perempuan bergaduh sambil dikelilingi oleh kanak-kanak lain.
Menurut ibunya, Latoshia Harris, anaknya itu telah bersemuka dengan kanak-kanak yang telah membulinya.
“Saya nampak anak perempuan saya ketakutan. Dia sangat kecewa apabila mendapati klip berkenaan dimasukkan ke dalam Musical.ly,’’ kata Latoshia yang memaklumkan anaknya itu sering menjadi mangsa buli.
Sejak itu Ashawnty telah berubah dan dia tidak boleh menerima keadaan dimalukan itu lalu menggantung diri, dua minggu lalu. – MYNEWSHUB.CC