LONDON – Apakah perasaan anda terutama golongan wanita sekiranya berpeluang membeli beg berjenama mahal yang bernilai ribuan ringgit tetapi djual dengan harga kurang daripada RM45?
Tidak masuk akal, bukan? Namun itulah yang berlaku kepada pelanggan gedung terkemuka Harrods di sini awal minggu lalu yang dikejutkan dengan tawaran ‘harga runtuh’ menerusi laman web syarikat itu, lapor media Britain.
Antara yang menjadi perhatian ramai pelanggan tegar premis eksklusif tersebut ialah beg tangan kulit jenama Aspinal of London Bags yang harganya jatuh lebih rendah iaitu sekitar £5 atau kurang daripada RM27.
Bagaimanapun kejadian itu berjaya disedari oleh pihak pengurusan Harrods dan ia lantas terpaksa menghantar e-mel susulan kepada setiap pelanggan yang sudah melakukan tempahan berhubung kesilapan lucu tersebut.
Malang bagi ramai pelanggan yang sudah membuat bayaran terhadap beg-beg berjenama elit tersebut apabila mereka perlu membayar kembali baki perbezaan atas pembelian pada harga asal sebenarnya.
Menurut laporan media tempatan, wakil Harrods, Andrew Leakey dipetik sebagai berkata bahawa mustahil bagi pihaknya sanggup menjual beg kulit asli terutama diimport khas dari Itali dengan harga yang begitu murah.
Peristiwa ‘harga runtuh’ ini berlaku apabila terdapat gangguan pada sistem laman web tersebut, menyebabkan harga yang disenaraikan menjadi jauh lebih rendah daripada harga asal. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA