SEMALAM kecoh netizen mengenai sikap pelakon Fattah Amin yang pada saat-saat akhir tidak muncul dalam program Meletop seperti yang dijanjikan.
Kemudian, timbul pula desas-desus yang mengatakan teraju utama Hero Seorang Cinderella itu tidak profesional apabila enggan menjayakan program tersebut kerana konon ada Neelofa.
Baca: Fattah Tarik Diri, Enggan Satu Pentas Dengan Neelofa?
Namun, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal menjelaskan perkara tersebut hanyalah kekeliruan dan mendakwa Fattah memang mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Penjelasan yang diberikan beliau itu sekali gus menepis dakwaan ‘nakal’ netizen yang menyatakan bahawa pelakon 27 tahun itu kononnya sebagai tidak profesional.
“Jika Fattah tak nak jumpa Neelofa, dari awal lagi dia tak datang dan terus balik sebaik saja selesai bersiaran bersama Hlive.
“Dia memang sudah bersedia di belakang pentas tapi beberapa minit sebelum kami nak bersiaran secara langsung, dia terpaksa pulang.
“Sebab kebetulan menang ada urusan yang tidak dijangkakan dan ia pula tidak dapat dielakkan,” katanya dipetik oleh mStar Online.
Menurut Emarina, jika Fattah enggan muncul dalam segmen pertama program Meletop itu, aktor tersebut tidak akan bergegas pulang ke ibu kota dari Kedah pada hari sebelumnya.
Malah, Emarina serta pihak Astro berterima kasih dan menghargai usaha Fattah sanggup datang dari jauh untuk memenuhi undangan program tersebut.
“Kami ingin berterima kasih pada Fattah dan pihaknya yang sanggup memandu pagi-pagi dari Kedah untuk promosi drama terbaharunya.
“Kalau diikutkan jadual Fattah sangat padat dan dia juga terpaksa membatalkan mesyuarat penting untuk hadir ke program yang sudah dijadualkan,” ujarnya.
Tambah Emarina lagi, tidak seharusnya timbul kata-kata sinis terhadap Neelofa dan Fattah kerana kedua-dua pihak sudah menyelesaikan kekeliruan itu dengan baik.
“Kami mohon maaf sebab tidak nyatakan secara jelas mengenai situasi ketika itu. Fattah memang ada tapi dia tidak dapat hadir secara langsung.
“Kekeliruan antara pihak Lofa dan Fattah juga sudah selesai selepas program tamat bersiaran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahrin yang menjadi tetamu bersama-sama Fattah untuk mempromosikan drama My Coffee Prince itu turut tidak mengetahui apa yang berlaku.
“Sejujurnya saya memang tidak tahu apa yang berlaku ketika itu, hanya pihak produksi yang tahu cerita sebenarnya,” ujarnya.
Menurut Fahrin, dia dan Fattah sepatutnya mengendalikan segmen pembukaan. Namun, perancangan itu bertukar di saat akhir dan hanya sedar ketiadaan Fattah selepas naik ke set program berkenaan.
Lapor mStar Online lagi, setakat ini Fahrin belum menerima penjelasan daripada Fattah. – MYNEWSHUB.CC/SA