KOTA KINABALU – Sepanjang 2017 menyaksikan komitmen tinggi kerajaan untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) terus terjamin, tetap konsisten meskipun usia Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sudah melebihi empat tahun sejak ditubuhkan pada 1 April 2013.
Kerajaan persekutuan dan negeri terus bergabung tenaga, sumber dan idea untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di ESSZOne dalam mengekang sebarang ancaman jenayah rentas sempadan terutama penculikan untuk tebusan dan pencerobohan kumpulan militan.
Pada 29 Sept lalu umpamanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menempatkan kira-kira 500 anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai projek rintis untuk membantu pasukan keselamatan memantau keselamatan di ESSZone yang melibatkan 10 daerah di Sabah.
Menteri Dalam Negeri itu berkata anggota Rela berkenaan akan berfungsi sebagai barisan kedua dalam tugas pemantauan keselamatan di ESSZone dan projek rintis itu kelak akan diikuti dengan penugasan 6,148 anggota Rela aktif di Sabah daripada 121,888 anggota Rela berdaftar di negeri ini, secara berperingkat.
Pada Oktober lalu di Tarakan, Indonesia pula, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas bersama rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina melancarkan operasi pemantauan udara menerusi inisiatif Trilateral Air Patrol (TAP) di Laut Sulu bagi menangani isu jenayah rentas sempadan termasuk ancaman pengganas dan penculikan.
Segala usaha kerajaan itu ternyata memberi kesan besar terhadap aspek keselamatan yang sememangnya amat diharapkan oleh penduduk Sabah bagi memastikan momentum pembangunan pelbagai sektor ekonomi dan sosial di negeri berkenaan dapat diteruskan.
Sebagai contoh, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Penasihat ESSCom Tan Sri Musa Aman, baru-baru ini memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bahawa sepanjang 2017 ini belum ada sebarang kes penculikan berlaku di kawasan ESSZone.
Kes penculikan terakhir melibatkan rakyat Malaysia oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina berlaku pada 18 Julai 2016 melibatkan lima kru kapal tunda di kawasan perairan Lahad Datu.
Bagaimanapun kesemua lelaki berusia antara 24 dan 63 tahun itu berjaya diselamatkan anggota keselamatan kerajaan Filipina dalam operasi tentera pada Mac lalu dan telah selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Pada 4 Dis lalu pula, anggota keselamatan di ESSZone menembak mati seorang lelaki dikenali sebagai Komander Paliyak@Yusuf, 31, dipercayai terlibat dalam beberapa kes rompak dan penculikan di kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014.
Sementara itu, Perintah Berkurung di ESSZone yang dikuatkuasakan sejak 19 Julai 2014 masih diteruskan hingga ke hari ini, selain turut menyumbang kepada usaha pengekalan keselamatan di ESSZone, juga menyumbang kepada pemantapan ekonomi di Sabah termasuk aspek pelancongan.
Perintah berkurung berjaya meyakinkan pelancong luar dan dalam negara untuk terus berkunjung ke destinasi pelancongan menarik di negeri ini, tidak terkecuali di kawasan pantai timur.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata hingga Oktober tahun ini, seramai 3.65 juta pelancong berkunjung ke Sabah dan daripada jumlah itu, 2.1 juta adalah pelancong tempatan manakala 1.4 juta lagi pelancong asing.
Jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding 3.4 juta pelancong yang datang ke Sabah sepanjang 2016.
Pada 2017 juga menyaksikan pelancaran dua lagi pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadikan jumlah pakej projek itu yang telah dilancarkan setakat ini kepada enam.
Najib melancarkan projek menaik taraf jajaran Jalan Sindumin-Kampung Malalia daripada dua lorong kepada empat lorong sepanjang 28.4 kilometer di Sipitang pada 4 Mac.
Projek tersebut turut membabitkan pembinaan dua persimpangan bertingkat serta tiga jambatan dan ia dijangka memberi akses ke kawasan koridor ekonomi berasaskan minyak dan gas yang menganjur antara Sipitang dan Kimanis.
Pelancaran jajaran Putatan-Inanam sepanjang 19.6 kilometer pula dilancarkan perdana menteri pada 18 Nov lalu di Putatan.
Ketika berucap pada majlis pelancaran jajaran Putatan-Inanam itu, Najib berkata sebanyak RM12.86 bilion diperuntukkan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer dari Sindumin ke Tanjung Simpang Mengayau di pantai barat dan dari Ranau ke Sandakan, Lahad Datu serta Tawau di pantai timur. – BERNAMA