KOTA TINGGI – Kerajaan secara prinsipnya meluluskan projek menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru di sini, membabitkan jarak kira-kira 26 kilometer.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan dua kepada empat lorong bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
“Tender projek dijangka dilakukan tahun depan, cuma kosnya belum dapat dipastikan sehingga kajian akhir dan reka bentuk dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jalan baharu menghubungkan jajaran FT092 di Bandar Penawar ke Pusat Latihan Rekrut (Pularek) di Sungai Rengit, di sini, hari ini.
Beliau berkata apabila projek itu siap kelak, ia dijangka dapat meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk khususnya di kawasan Pengerang dan Desaru.
Mengenai perasmian jalan baharu itu, Fadillah berkata beliau secara keseluruhannya berpuas hati walaupun projek itu mengalami kelewatan kira-kira setahun.
Beliau berkata jalan itu yang mula dibina pada 18 Mac 2014 dan sepatutnya siap awal tahun lepas, mengalami kelewatan berikutan beberapa masalah termasuk melibatkan pengambilalihan tanah penduduk serta perubahan reka bentuk pelan.
“Bagaimanapun, kontraktor sudah didenda RM12 juta di atas kelewatan itu dan hasilnya mereka dapat menyiapkan pada 6 Dis lepas,” katanya.
Bagaimanapun terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuk melihat semula pembinaan beberapa bulatan yang siap dibina berikutan ada kenderaan berat masih melalui kawasan berkenaan sehingga menjejaskan trafik sepertimana dilaporkan pihak Petronas, katanya.
“Jadi, saya cadangkan agar kita (Jabatan Kerja Raya) menggantikannya dengan kaedah membuat simpang besar yang menggunakan sistem lampu trafik kerana ini lebih efisien dalam menangani kesesakan,” katanya.
Jalan baharu itu bakal menggantikan jalan sedia ada yang ditutup bagi pengoperasian Terminal Laut Dalam Pengerang, selain dapat menjimatkan masa perjalanan antara Tanjung Pengelih ke Rengit dari 60 minit kepada 20 minit.
Beliau berkata pembinaan jalan itu juga mencakupi dua jambatan merentasi Sungai Lepau dan Sungai Pinang, dua bulatan serta jalan baharu dua lorong dua hala dengan kos keseluruhan RM280 juta. – BERNAMA