SEMAKIN hari, semakin ramai selebriti wanita beragama Islam yang sudah berhijrah ke arah kebaikan iaitu dengan mula berhijab dan menutup aurat.
Namun, nasib tidak menyebelahi pelakon kecil molek, Ardell Aryana apabila beberapa produksi telah membatalkan tawaran lakonan kepadanya selepas aktres tersebut bertudung!
“Saya sudah empat kali ditolak tawaran berlakon selepas pihak produksi dapat tahu yang saya kini sudah bertudung,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Menurut Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, dia tidaklah terlalu terkilan berkaitan hal tersebut kerana sering mempercayai bahawa pasti akan ada rezeki yang lebih baik datang selepas ini.
“Mungkin sebab watak yang ditawarkan tidak sesuai. Namun, saya tak rasa sedih atau kecil hati.
“Sebab saya percaya ada rezeki yang lain akan datang dan Alhamdulillah, selepas daripada itu, saya ada menerima beberapa tawaran yang lebih baik,” ujar pelakon berusia 27 tahun itu.
Selain itu, Ardell dikatakan telah mula bertudung selepas dia bercuti sendirian ke Pulau Bali, Indonesia pada pertengahan September lalu.
Tambah gadis kelahiran negeri Selangor itu, dia sudah menyimpan hasrat untuk berhijrah sejak tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan dahulu atas urusan kerja.
“Saya dah lama simpan hasrat nak berhijrah sejak ulang tahun kelahiran mak saya tahun lalu tapi tidak kesampaian.
“Terpaksa ditangguh sebab ada beberapa kontrak drama yang memerlukan saya tidak bertudung.
“Allhamdulillah, saya dapat kekuatan ketika bercuti seorang diri di Bali dan sejak itu saya terus bertudung,” tambahnya lagi.
Walaupun kini dia sudah tampil dengan imej bertudung, namun masih ada lagi golongan wanita songsang yang sering menghantar mesej peribadi kepadanya untuk dijadikan kekasih hati.
Aduhai cik kak oih… Songsang sangat ni sampai orang dah bertudung pun masih nak offer jadi girlfriend?
Sebelum ini, Ardell pernah dikaitkan dengan kontoversi panas apabila kononnya dia menjalinkan hubungan songsang hanya disebabkan penampilannya yang berambut pendek.
“Masih ada lagi wanita-wanita yang mesej secara peribadi di laman Instagram nak jadikan saya kekasih mereka.
“Biarpun saya dah bertudung pun masih lagi ada orang anggap saya lesbian. Tapi saya padam sahaja mesej tersebut,” tambah Ardell yang juga mengusahakan produk kecantikan diberi nama A’dell Beauty.
Bersabaarlah Ardell. Rezeki tu pasti ada di mana-mana sahaja. Kalau sekarang mungkin banyak tawaran yang anda terlepas, mana tahu lepas ni semakin banyak tawaran yang menanti. – MYNEWSHUB.CC/AH