GEORGE TOWN – Perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera yang ditutup selama sebulan, kembali beroperasi hari ini selepas kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut selesai dilaksanakan.
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) Cheok Lay Leng berkata pengoperasian funikular terpaksa dihentikan sementara waktu bermula 5 Nov lalu setelah kawasan berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘zon merah’ akibat kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.
Proses pembersihan dan pemulihan dilaksanakan oleh PBBPP dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan, katanya kepada pemberita selepas perasmian pengoperasian semula perkhidmatan itu yang dilakukan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, di sini hari ini.
“Terima kasih juga diucapkan kepada agensi persekutuan, agensi kerajaan negeri, sukarelawan , persatuan penduduk Bukit Bendera serta kakitangan PBBPP yang telah bekerja keras bagi memastikan perkhidmatan funikular dapat beroperasi semula untuk membolehkan pengunjung kembali menikmati keindahan di puncak Bukit Bendera,” katanya.
Bagaimanapun Cheok berkata kerja-kerja pemulihan Bukit Bendera masih belum siap sepenuhnya dan kawasan yang mengalami kerosakan termasuk tanah runtuh mesti dibaik pulih.
“PBBPP akan bekerja keras bersama-sama agensi persekutuan dan agensi kerajaan negeri untuk memastikan kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat bagi mengembalikan kegemilangan dan menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan utama Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Lim yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam kerja-kerja pembersihan tersebut turut berterima kasih kepada masyarakat atas kesabaran dan pemahaman yang ditunjukkan.
Perkhidmatan kereta api kabel Bukit Bendera ditutup selama sebulan bagi kerja-kerja pemulihan dan pembaikan akibat keadaan cuaca ekstrem bulan lepas. Sebanyak 194 kejadian tanah runtuh berlaku di Bukit Bendera yang menyebabkan perkhidmatan itu tergendala dan menghalang bukan sahaja akses ke kediaman tetapi juga laluan jip dan jalan utama ke bukit itu.
Hari ini, orang ramai mula memenuhi ruang stesen kereta api itu seawal 7 pagi tadi untuk tidak melepaskan peluang menikmati keindahan Bukit Bendera. – BERNAMA