PADA Isnin lalu, Noorshila Amin bersama anaknya, Nurul Admiena Norrizan telah melafazkan sumpah laknat dalam satu sidang media yang berlangsung di Desa Hartamas, Kuala Lumpur.
Lafaz sumpah itu dibuat bagi menyangkal dakwaan konon berhubung fitnah menipu duit milik lapan selebriti semasa Brunei International Festival 2017 pada April lalu.
Susulan perkara itu, seorang pendakwah bebas, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman telah tampil bagi menjelaskan makna dan proses sebenar sumpah laknat menurut sisi Islam.
Menurut Dr. Zaharuddin, sumpah seseorang hanya sah jika ia dibuat melalui proses mahkamah dengan empat kali bersumpah diikuti sekali sumpah laknat.
Jelasnya lagi, kaedah memegang Al-Quran juga adalah sesuatu yang kurang tepat kerana bersumpah dengan cara seperti itu sebenarnya bukanlah satu keperluan.
“Nabi Muhammad SAW bersabda; Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja yakni tidak bersumpah (Riwayat Al-Bukhari).
“Apa-apa pun, kita tidak mahu, kaedah memegang Al-Quran ketika bersumpah menjadi trend masyarakat dan menimbulkan salah faham sehingga ada yang merasakan ia adalah kaedah sebenar pelaksanaan sumpah li’an,” jelasnya dipetik mStar Online.
Zaharuddin berkata lagi, sebarang sumpah laknat yang berhubung hal mengesahkan penipuan dalam urusan perniagaan adalah salah di sisi agama dan tidak dibenarkan oleh Islam sama sekali.
“Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak kerana menyebabkan seseorang itu secara bebas melakukan sumpah tanpa sebarang asas atau sandaran dalil.
“Dalam kes yang dirujuk tersebut, sumpah laknat yang dilakukan walaupun dengan nama Allah, ia tidak sah kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami-isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina sebagaimana wujud dalam peruntukan di dalam Al-Quran, surah an-Nur ayat 6-8,” katanya lagi.
Sementara itu, disoal mengenai sumpah dalam kes melibatkan Noorshila, Zaharuddin berkata ia adalah hanya sumpah biasa dan bukan sumpah laknat.
Ujarnya, status sumpah biasa dalam kes tersebut boleh dianggap sah apabila ianya dimulakan dengan lafaz “wattallahi”, “wabillahi”, ataupun salah satu daripada perkataan tersebut.
“Namun sumpah biasa ini sepatutnya hanya dilakukan sesudah ‘bayyinah‘ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukakan oleh pihak yang menuduh.
“Apakah bayyinah ini? Jika belum ada bukti kuat, maka tidak perlu menolak dengan cara sumpahan kerana ia dikira hal kecil dan tiada kukuh,” ujarnya.
Tambahnya, bagi pihak yang yakin diri dizalimi tetapi tidak mampu bertindak kerana diragui ataupun sebarang alasan lain, mereka boleh menggunakan doa musnah ke atas penzalim berkenaan.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu hanya disarankan kepada seseorang yang benar-benar dizalimi mengikut perspektif Islam dan bukan nafsu.
“Menurut Fiqh Islam, adalah baik untuk dimaafkan serta bersabar apabila dizalimi atau harus juga berdoa kemusnahan seperti buta atau mati selain diserahkan urusan kepada Allah untuk beri balasan.
“Seorang wanita (‘Arwa bt Uwais) mendakwa sebahagian tanah miliknya telah diceroboh dan dirampas oleh seorang sahabat besar yang termasuk dalam sepuluh dijanjikan Syurga oleh Baginda Nabi SAW. iaitu Sa’id bin Zaid R.A, padahal ia memang milik Sa’id akhirnya Sa’id mengalah dan membuat doa khusus untuk penzalim dan perampas serta penipu seperti wanita terbabit.
“Doanya berbunyi, Ya Allah kira benar wanita ini menipu maka butakanlah matanya dan jadikan kuburunya (mati) di dalam rumahnya (Hadis dan kisah ini dalam Syarah Sahih Muslim oleh Imam Al-Nawawi).
“Tidak lama selepas itu, doa Sa’id makbul dan wanita itu telah buta, kemudian dia mengakui bahawa doa Sai’d telah mengenai dirinya, selepas itu, setelah dia keluar dari qada hajat, dan berjalan ke perigi di rumahnya, dia telah terjatuh ke dalam perigi lalu mati. Semua doa Sa’id telah makbul,” ujarnya.
Sebelum ini, Noorshila telah mengangkat lima kali sumpah laknat tidak ambil duit mahupun menipu lapan rakan artis semasa menyertai festival di Brunei, baru-baru ini.
Baca: Noorshila Amin Lafaz Sumpah Laknat Nafi Tipu Artis
Selain itu, penyanyi tersebut turut mengangkat sumpah bahawa dia tidak pernah mengaitkan nama pengacara, Roslan Shah dengan insiden pergaduhan bersama pelakon, Lana Nordin di Singapura sekitar dua minggu lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM