PENYANYI Lan baru sahaja ingin menarik nafas lega selepas bekerja keras dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4) yang baru disertainya.
Namun, nampaknya hasrat itu seakan terhenti apabila tanpa diduga isterinya, Nur Sheila Hashim terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kebocoran air ketumbannya semalam.
Berita itu dikongsikan bekas vokalis kumpulan Kristal di laman Instagramnya semalam.
Sheila yang sedang hamil 27 minggu telah dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu dan masih di bawah pemerhatian doktor.
Lan dalam pada itu menerusi mStar Online turut momohon peminat-peminatnya mendoakan kesejahteraan isteri serta kandungannya.
“Sekarang masih dalam pemerhatian. Air ketuban mengalami kebocoran. Insya-Allah semuanya akan baik.
“Minta doa yang baik-baik saja ya,” katanya ringkas.
Sementara itu, Sheila turut memuat naik satu gambar di laman Instagramnya dan mengharapkan anaknya itu akan dilahirkan apabila cukup bulan nanti.
Laman Instagram Lan turut dibanjiri komen-komen netizen yang mendoakan Sheila dan kandungannya berada dalam keadaan yang baik.
Sebelum ini, Sheila dilihat setia menemani Lan sepanjang lapan minggu GV4 berlangsung. Sudah pasti dia ingin memberi sokongan kepada Lan untuk membuat persembahan yang terbaik.
Sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, Nur Amna Qeesyara dan Muhammad Akid Qassyaff. – MYNEWSHUB.CC/SA