MEMANG diakui tiada siapa yang dapat menghalang kemalangan atau kecelakaan yang berlaku di atas jalan raya meskipun ia berpunca daripada kelalaian manusia sendiri.
Namun wajarkan kesalahan yang dilakukan hanya diselesaikan dengan wang ringgit semata-mata? Kalau begitu fa’elnya, murah sungguhlah nyawa manusia ini kan…
Baru-baru ini, seorang kontraktor hanya didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahan memandu dalam keadaan mengantuk sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri pada lapan tahun lalu.
Memetik laporan agensi berita Bernama, majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Kim Sing, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya ketika dibicarakan semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada 19 Julai 2009 di Jalan Lembah Jaya Selatan, tertuduh pada ketika itu memandu Proton Persona dari arah Hulu Langat.
Dia bagaimanapun tidak dapat mengawal kenderaannya hingga melanggar motosikal yang yang ditunggangi Muhammad Salim Ahmad, 20, dan dibonceng isterinya Rahimah Abdul Rahim, 21, pada jam 3.45 pagi.
Pasangan suami isteri yang berada di persimpangan lampu isyarat Lembah Jaya itu difahamkan sedang menghala ke Bukit Belacan.
Namun akibat daripada impak kuat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Selepas siasatan menyeluruh dijalankan, pihak polis mendapati bahawa Kim Sing pada ketika itu memandu tanpa pertimbangan munasabah akibat mengantuk. Aduhai, tak pasal-pasal melayang dua nyawa!
Pemuda itu kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda sebanyak RM7,000.
Bagaimanapun, Kim Sing membayar dendanya dan memohon pihak mahkamah untuk meringankan hukuman yang dikenakan kerana dia perlu menyara kedua ibu bapanya yang sudah tua.
Sungguhpun begitu, Timbalam Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana tertuduh sudah melakukan kesalahan serius sehingga menyebabkan kematian.
Kes ini mendapat perhatian meluas daripada netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dan merasakan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh langsung tidak ‘berbaloi’.
Ialah, pesalah hanya dikenakan denda sejumlah wang ringgit dan kemudian perkara itu dilupakan begitu sahaja.
Jadi apa pendapatan anda? Bagi kami hukuman denda wang ringgit sahaja tidak memberikan sebarang kesan sebaliknya ia dianggap remeh dan tidak memberikan kesan mendalam kepada pesalah.
Nyawa seseorang bukan sesuatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit. Keadilan perlu menyeluruh yakni untuk si mati dan keluarga yang menanggung kesedihan seumur hidup. -MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan…