KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang lelaki dipenjarakan 12 tahun dan sebat dua kali kerana mencederakan seorang warga emas setelah berselisih faham berhubung hutang upah membajak sawah.
Hakim Datuk Unaizah Mohd menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrunizam Romli, 36, selepas berpuas hati pembelaan yang diberikannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan ke atasnya.
Shahrunizam didakwa mencederakan Rahmat Senapi, 70, dengan sebatang buluh pada 4.30 petang, 26 Disember 2016 di sebuah rumah di Kampung Pandan Dalam, Nenasi Pekan dekat sini dan ditangkap pada 30 Disember 2016 selepas mangsa membuat laporan polis serta didakwa di mahkamah buat pertama kali pada 4 Januari 2017.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Peguam Datuk Bob Arumugam dalam rayuannya berkata tertuduh tidak berniat melakukan kesalahan itu dan ia berlaku tanpa dirancang selepas tertuduh difahamkan menuntut upah membajak sawah yang tidak dibayar mangsa.
“Senjata yang terlibat hanya sebatang buluh, bukan senjata berbahaya seperti parang. Tertuduh bekerja kampung, berkelulusan setakat tingkatan lima, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 12 dan empat tahun.
“Tertuduh bukan seorang yang ganas dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, selain telah memberikan kerjasama dengan hadir di mahkamah setiap kali kes ini disebut,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.
“Tindakan tertuduh telah menyebabkan mangsa patah tangan kiri. Perbuatan tertuduh yang masih muda mencederakan mangsa, seorang warga emas juga satu perbuatan yang jelik,” katanya.
Pada prosiding itu, Unaizah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini, selepas berpendapat tiada alasan istimewa untuk membenarkan permohonan menangguhkan hukuman penjara oleh tertuduh.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan lapan saksi pendakwaan. – BERNAMA