GEORGE TOWN – Seorang pelancong warga Jerman, dipercayai menghadapi masalah kemurungan, ditemukan mati dengan kesan darah di bahagian kepala dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan Love Lane di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata mangsa Martin Leonhard, 46, ditemukan terbaring di hadapan pintu dalam biliknya oleh pekerja hotel pada jam 9.10 pagi.
“Ketika ditemukan, mayat lelaki yang bekerja sebagai jururawat di Jerman itu dalam keadaan berdarah di bahagian kepala dan beberapa bahagian dinding biliknya turut terdapat kesan darah,” katanya di sini.
Berdasarkan siasatan polis, katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai mabuk sebelum terjatuh di dalam biliknya.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mayat itu juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Anuar berkata, menurut penjaga hotel itu, mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan sejak 12 November lepas dengan bayaran RM35 sehari bagi biliknya.
“Penjaga hotel itu memaklumkan sejak hari keempat mangsa menginap di situ, dia berkelakuan ganjil dan tidak makan serta hanya minum arak malah lelaki berkenaan turut meluahkan rasa sedih kerana kematian dua adiknya dalam kemalangan di Jerman dua bulan lepas,” katanya.
Beliau berkata keadaan lelaki itu juga tidak terurus dan semua pakaian lamanya dibuang malah hanya menggunakan kain cadar untuk membalut badannya serta langsung tidak keluar dari hotel.
“Polis juga menemui satu laporan perubatan mangsa dalam biliknya yang menunjukkan dia mengalami masalah kemurungan dan psikiatrik. Semakan kamera litar tertutup di hotel itu juga tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah,” katanya. – BERNAMA